KUALA LUMPUR, 7 Ogos (IKIM) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa al-Quran perlu dijadikan asas dalam setiap aspek kehidupan dan pentadbiran negara bagi membentuk generasi yang seimbang dari segi rohani dan intelektual.
Beliau berkata, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca atau dihafaz, tetapi perlu dijadikan rujukan utama dalam merangka dasar negara, membina sistem pendidikan serta merancakkan pembangunan ekonomi yang berteraskan nilai-nilai Islam.
“Kita hidup dalam dunia yang serba pantas dan canggih, namun jiwa manusia semakin kosong, akhlak terhakis dan nilai kemanusiaan semakin pudar. Di sinilah peranan penting al-Quran sebagai panduan hidup, pembentuk peradaban dan penghubung antara manusia dan Allah SWT,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan World Quran Symposium 2025 bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
Ucaptama simposium disampaikan oleh Imam Masjid Nabawi, Madinah Sheikh Salah al-Budair.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, pembangunan fizikal dan kemajuan teknologi adalah penting, namun negara juga perlu melahirkan insan yang kukuh akidah serta berpaksikan nilai murni melalui generasi Qurani yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Antara usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan termasuk Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Huffaz dan Program Pra-Tahfiz di Tabika KEMAS, yang kini telah berkembang ke lebih 8,167 Tabikamdengan sasaran melahirkan 140,000 huffaz cilik menjelang 2026.
Inisiatif ini turut diperkukuh melalui pelaksanaan konsep ‘ulul albab’ oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di 57 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara.

“Alhamdulillah, MRSM kini mengungguli senarai sekolah terbaik berdasarkan keputusan SPM baru-baru ini,” ujarnya.
Mengenai World Quran Symposium 2025, beliau menyifatkannya sebagai lebih daripada sekadar platform ilmiah, sebaliknya sebagai strategi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam wacana Islam di peringkat global.
“Malaysia kini menjadi jambatan antara warisan ilmu dan inovasi semasa, serta suara sederhana yang membawa prinsip keseimbangan di tengah-tengah kekeliruan dunia moden. Jangan biarkan simposium ini tamat di atas pentas semata-mata, jadikan ia pemangkin kepada dasar negara dan gerakan pemikiran Qurani yang segar,” katanya.
Simposium berkenaan menghimpunkan lebih 1,500 peserta termasuk ahli Jawatankuasa Muzakarah Fatwa, pakar syariah, pensyarah, pelajar IPT, guru takmir, wakil kementerian dan masyarakat umum bagi memperkukuh penghayatan nilai-nilai al-Quran dalam kehidupan seharian.

Jurugambar: Fathulmungin Mohd Yusof