Jadi Pendengar Terbaik Mampu Kukuhkan Hubungan

ORANG dulu-dulu selalu menyebut, ajal, maut, jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Jodoh kita adalah urusan Allah swt dan Allah sahaja yang tahu siapakah yang bakal dijodohkan dengan kita. Islam amat menggalakkan mencari jodoh untuk menuju alam perkahwinan kerana ianya adalah kaedah terbaik bagi menolong menguatkan agama dan menghindari bisikan syaitan. Setelah bertemu jodoh dan berkahwin, seseorang akan mendapat penawar terbaik bagi mengubati jiwa yang kesunyian.

Pastinya setiap individu inginkan jodoh atau pasangan yang diidam-idamkan . Namun demikian, setelah sekian lama mendirikan rumah tangga, pelbagai masalah serta persoalan timbul satu persatu. Mengapa perkara sebegini berlaku? Semasa bercinta, setiap pasangan kekasih biasanya akan mempamerkan sikap dan personaliti yang sangat ideal. Masing-masing menyembunyikan kelemahan diri agar dapat menambat hati pasangan. Apabila sudah berkahwin, barulah segala rahsia serta kelemahan diri terbongkar satu persatu. Perkahwinan menuntut persefahaman dan jalinan komunikasi yang berkesan antara kedua-dua pasangan. Suami perlu belajar dan berusaha mengenali isteri, si isteri pula perlu belajar dan berusaha mengenali suami. Selain itu, isteri perlu memberitahu tentang diri kepada suami, suami perlu memberitahu tentang diri kepada isteri.  Sewaktu menghuraikan tajuk berkenaan \”Pasangan Bukan Tukang Tilik\” dalam rancangan Pesona D’ Zahra pada minggu lepas, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin menyatakan setiap pasangan perlu sedaya upaya tanpa kenal erti putus asa dalam memahami perilaku masing-masing. Berhadapan dengan situasi sedemikian  memerlukan masa dan ia tidak berlaku secara automatik atau tiba-tiba.  Dalam hal ini, anda perlu dengar apa sahaja yang diutarakan oleh pasangan anda. Kemudian anda perlu mengambil berat setiap perkara yang disampaikan walapun hal  tersebut remeh. Apabila anda sudi mendengar apa yang disampaikan oleh pasangan anda, dia juga akan menjadi pendengar yang baik pada diri anda.

Menurut Muhamad  terdapat dua prinsip yang perlu diamati bagi memahami pasangan. Pertama, kadangkala orang tidak suka mendengar untuk faham. Dalam konteks ini, si isteri perlu mengelakkan berbicara tentang kelemahan atau membuka keaiban suami serta sentiasa sabar dalam memberi teguran. Misalnya, jika ditakdirkan pasangan hidup bersikap baran. Orang yang memiliki sifat sebegini tidak suka dinasihati dan menganggap nasihat yang dia dengar sebagai mencari kesalahan dia. Pilihlah masa sesuai untuk berbicara dari hati ke hati dengan pasangan anda. Waktu yang sesuai contohnya selepas menikmati hidangan makanan kegemarannya. Selepas makan dan saat anda berdua sedang berehat, cuba susun ayat paling ringkas dan \’manis\’. Isteri yang solehah seharusnya menjadi teman berunding bagi suami, menjadi sahabat dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Itulah sebabnya hubungan suami isteri itu diumpamakan sebagai “teman hidup”. Sekiranya suami menghadapi masalah bagi mencapai-cita-citanya dan keluarganya, maka  peranan isteri  diperlukanpada  saat – saat sebegini. Berikan semangat  motivasi kepada suami  di samping menghiburkan hatinya.

Prinsip seterusnya yang harus dititikberatkan oleh setiap pasangan adalah tapi kefahaman tidak semestinya dengan mendengar.Adakalanya memek muka , teguran atau nasihat  yang pernah  disampaikan secara  berterusan mampu memupuk rasa saling memahami dan secara tidak langsung  menyejukkkan hati pasangan tersebut. Nabi Muhammad SAW  sewaktu hayat hidup Baginda pernah  mendapat tentangan ketika menjalankan urusan dakwah. Baginda selalu menahan sabar walaupun sering dicaci dan dihina oleh musuh-musuhnya. Sikap inilah yang membuatkan pengikutnya setia kepada ajaran Baginda.Dua tahun sebelum Hijrah, Allah SWT  telah menghadiahkan kepada Nabi Muhammad SAW satu amalan yang mampu melembutkan hati iatu  solat.  Buktinya terkandung  satu doa  dalam surah al-Fatihah ketika solat, yang bermaksud: “Tunjuklah kami jalan yang lurus. (Surah Al Fatihah, ayat 6) . Perjuangan menuntut pengorbanan yang tidak terhingga banyaknya, baik dari aspek fizikal, mental, dan spiritual. Namun semua itu dapat dihadapi dan dilaksanakan oleh Baginda SAW dengan pertolongan dan pimpinan dari Allah SWT. Natijah daripada itu, akhirnya membuahkan kejayaan kepada Baginda.

Kesimpulannya  setiap  pasangan suami isteri harus percaya bahawa kefahaman terbaik yang cuba dijalinkan sesungguhnya  hadir daripada pertolongan Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Ogos 2016
WhatsApp
Scroll to Top