JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) PASTIKAN AGENDA MEMBINA MASYARAKAT MENJADI KEUTAMAAN – DR. ZULKIFLI

PUTRAJAYA, 12 Jan (IKIM) –  Usaha membentuk pemikiran masyarakat yang lebih berilmu, seimbang dan progresif mejadi keutamaan sebagai teras peranan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam mendepani cabaran semasa negara, kata Menterinya Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bukan sekadar berfungsi sebagai entiti pentadbiran atau respons kepada isu-isu berbangkit, sebaliknya perlu tampil sebagai peneraju pencerahan dan pencerdasan pemikiran umat secara berterusan dan strategik.

“Peranan utama Hal Ehwal Agama adalah membentuk pemikiran masyarakat yang lebih dinamik, progresif dan berkemajuan, selari dengan kefahaman Islam yang sebenar,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melibatkan 14 agensi, di sini hari ini.

Menurut Dr Zulkifli, melalui pendekatan tersebut, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam menjelaskan aspirasi Malaysia MADANI kepada rakyat, selain menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang damai, rahmah, wasatiyah serta mengiktiraf kepelbagaian.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Beliau berkata usaha membentuk pemikiran masyarakat menuntut warga Hal Ehwal Agama memiliki daya cipta, inovasi dan kesatuan pasukan, serta keupayaan merangka pendekatan yang bukan sahaja bersifat responsif, malah proaktif dalam mendepani realiti semasa.

“Kita tidak boleh menunggu isu timbul baru memberi penjelasan. Sebaliknya, pencerahan dan pencerdasan perlu dilakukan lebih awal agar masyarakat mempunyai kefahaman yang betul dan seimbang,” tambah beliau. 

Beliau turut menegaskan bahawa pembentukan pemikiran masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada keperluan menjaga integriti, tadbir urus dan pentadbiran yang baik, bagi memastikan segala dasar dan inisiatif Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dapat dilaksanakan dengan berkesan dan diyakini rakyat.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata perancangan sedia ada akan diteruskan dengan beberapa penyesuaian dibuat bagi mendepani cabaran baharu termasuk perkembangan teknologi dan perubahan landskap geopolitik, selaras dengan keperluan semasa umat.

“Pelan ini (yang sedia ada) adalah dokumen yang hidup. Ia perlu dilaksanakan, dinilai dan ditambah baik supaya impaknya benar-benar dirasai oleh masyarakat,” ujar beliau.

Beliau berkata, dalam usaha membentuk pemikiran masyarakat yang lebih matang dan beradab, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus menyeimbangkan pendekatan pencerahan, pencegahan kemungkaran dan ajakan kepada perkara makrufsecara berhikmah serta inklusif.

WhatsApp
Scroll to Top