JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) KOMITED DALAM USAHA PEMULIHAN GAZA

PUTRAJAYA, 29 Januari (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan sokongan penuh terhadap komitmen Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam menggerakkan usaha pembinaan semula Gaza, Palestin.

Inisiatif yang merangkumi pembangunan sebuah sekolah, hospital, dan masjid ini sebagai langkah pemulihan bagi rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik yang berterusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa pihaknya akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi untuk menyelaras usaha ini.

“Jawatankuasa ini akan diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Yayasan Waqaf Malaysia,” ujar beliau.

“Jawatankuasa ini akan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri serta rakan strategik bagi memperkukuh usaha pemulihan Gaza secara menyeluruh,” tambah beliau dalam kenyataan itu.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan kejayaan inisiatif ini serta kekuatan kepada rakyat Palestin dalam menghadapi ujian berat ini.

“Semoga Allah SWT memberikan limpahan kesejahteraan dan kekuatan kepada rakyat Palestin,” tambah beliau.

WhatsApp
Scroll to Top