Kuala Lumpur, 11 Jun (IKIM) – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, jabatan itu mendoakan agar Allah SWT mengampuni roh para mangsa, mempermudahkan urusan mereka di alam seterusnya, serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada ahli keluarga yang ditinggalkan.
“Tragedi yang menyayat hati ini mengingatkan kita semua tentang keperluan mendesak untuk menambah baik aspek keselamatan jalan raya, khususnya dari sudut tanggungjawab syarikat pengangkutan dalam mengambil langkah pencegahan yang proaktif,” menurut kenyataan tersebut.
JMWP menekankan dua aspek utama yang perlu diberi perhatian segera antaranya pemantauan ketat terhadap pemandu, dan pemeriksaan keselamatan kenderaan secara berkala.
“Seperti juruterbang, pemandu bas juga perlu dihadkan waktu pemanduannya, tidak melebihi 9 hingga 10 jam sehari bagi mengelakkan keletihan yang boleh membawa kepada kemalangan. Tahap kesihatan, waktu bekerja dan kelayakan mereka mesti dipantau secara berterusan.”
Selain itu, JMWP turut menegaskan bahawa bas yang tidak diselenggara dengan baik tidak sepatutnya dibenarkan berada di atas jalan raya.
Mengulas lanjut, jabatan tersebut menyifatkan kehilangan nyawa anak muda yang berpotensi sebagai pemimpin masa depan sebagai satu kehilangan besar buat negara. Tragedi seperti ini, menurut mereka, tidak seharusnya berulang akibat kecuaian atau kelalaian pihak tertentu.
“Kami menggesa agar tindakan undang-undang yang tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan keselamatan. Tanggungjawab dan akauntabiliti adalah kunci dalam menyelamatkan nyawa.”
Mengakhiri kenyataan, Jabatan Mufti menyeru agar semua agensi yang berkaitan bertindak segera dan dengan penuh keadilan, tanpa mengira latar belakang mangsa, demi keselamatan seluruh rakyat Malaysia.
“Sebagai Muslim, kita beriman kepada takdir, namun ia perlu disertai dengan usaha bersungguh-sungguh untuk menjaga nyawa, selaras dengan Maqasid Syariah yang menjadikan penjagaan nyawa sebagai salah satu objektif utamanya,” menurut kenyataan itu.