Islah, Ketahanan Tamadun dan Agenda Pemerkasaan Ummah Jadi Fokus muknas ke-19

PERMATANG PAUH, 30 Nov (IKIM) – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli bin Hasan, menyampaikan ucapan dasar yang bernuansa intelektual dan penuh peringatan moral sempena perasmian Muktamar Nasional WADAH (MUKNAS) Ke-19 dan Forum Madani & Keamanan Global 2025, di sini, semalam. 

Dalam ucapan pembukaan, Dr. Zulkifli merakamkan penghargaan terhadap penganjuran muktamar di Permatang Pauh, sebuah lokasi yang dianggap simbol kebangkitan moral dan intelektual negara sejak era Reformasi. 

Beliau menegaskan bahawa WADAH kekal sebagai payung pemikiran bagi keluarga besar ABIM dan PKPIM yang berperanan sebagai madrasah nilai yang mendidik umat melalui ilmu, hikmah dan keberanian moral. Ucapan turut memberi penghormatan kepada generasi pendahulu gerakan Islam yang membina tradisi ilmu, menentang kezaliman serta mengangkat akhlak sebagai asas perubahan sosial.

Tema MUKNAS Ke-19, “Malaysia Memimpin: Model Negara Madani – Visi dan Strategi”, disifatkan sangat tepat dalam konteks geopolitik semasa. Dr. Zulkifli menegaskan bahawa Malaysia kini memikul peranan baharu sebagai kuasa nilai dan moral di pentas global yang  mempromosikan dialog, keamanan dan diplomasi insani. Gagasan Malaysia MADANI, katanya telah menampilkan Malaysia sebagai negara yang kukuh pendiriannya dalam isu keadilan, kemanusiaan dan pendekatan sederhana terutamanya dalam konflik Palestin, hubungan ASEAN dan kerjasama antarabangsa.

Beliau seterusnya menggariskan cabaran besar yang melatari dunia hari ini, terutamanya krisis pengetahuan dan budaya pasca-kebenaran (post-truth). Masyarakat global kini dibanjiri maklumat tanpa neraca kebenaran sehingga ramai tidak lagi mencari fakta, sebaliknya hanya mencari apa yang mengesahkan emosi mereka. Fenomena ini, jelasnya, mencetuskan budaya anti-intelektual, fitnah, kebencian dan kekeliruan dalam ruang sosial dan politik.

Dr. Zulkifli turut mengingatkan mengenai gejala kemelampauan agama yang semakin menular. Wujud kelompok yang memahami agama secara keras dan tidak berhikmah lalu menormalisasikan budaya tabdi’, tafsiq dan takfir termasuk juga jenayah qazaf serta maki hamun atas nama perjuangan agama. Sedangkan Islam, tegas beliau, adalah agama rahmah yang sepatutnya menyatukan bukan memecah-belahkan masyarakat.

Beliau menekankan bahawa kemajuan negara juga bergantung pada kekuatan idea dan kebolehan menterjemahkan nilai Islam ke dalam dasar awam. Malaysia, katanya, memerlukan lebih ramai pakar polisi, ahli ekonomi, ilmuwan sosial dan pemikir dasar yang mampu menawarkan penyelesaian konkrit terhadap masalah negara. Beliau mengingatkan bahawa tamadun sering mundur bukan kerana kemiskinan material, tetapi kerana ketandusan idea-idea besar yang boleh memacu perubahan.

Sebagai penyelesaian, Dr. Zulkifli mengemukakan keperluan membina kerangka Fiqh al-Amni wa al-Salam atau Fiqh Keamanan dan Kesejahteraan. Beliau menegaskan bahawa keamanan bukan sekadar ketiadaan konflik tetapi suatu nilai yang harus diinstitusikan melalui dasar negara dan budaya masyarakat. Justeru, rakyat perlu menolak ujaran kebencian, fitnah dan provokasi serta fanatisme, di samping menghidupkan dialog, ihsan dan tasamuh dalam masyarakat majmuk. Tradisi ilmu yang seimbang, kontekstual dan berhikmah perlu diperkukuh bagi memastikan umat tidak terperangkap dalam fahaman sempit tanpa maqasid.

Ucapan perasmian tersebut menggariskan visi yang jelas untuk memposisikan Malaysia sebagai peneraju moral dunia Islam serta menyeru WADAH untuk terus menjadi medan pencerahan dan pemikiran strategik bagi pembangunan negara dan ummah.

Turut hadir Presiden WADAH, Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman; Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman; dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

WhatsApp
Scroll to Top