KUALA LUMPUR, 5 Februari (IKIM) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah melancarkan Institut Antarabangsa Kajian Masa Depan (IIFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan buku “A Malik Bennabi Reader” karya Prof. Dr. Mohamed El Tahir El Mesawi.
Anwar ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata pelancaran karya dua jilid mengenai idea dan pemikiran Malek Bennabi ini adalah satu kegembiraan besar.
“Keyakinan moral dan intelektual Bennabi telah memberi pengaruh mendalam terhadap perspektif saya sendiri,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Profesor Tahir Mesawi atas kejayaan membawa karya yang mengagumkan ini ke dunia penerbitan yang mungkin merupakan penerangan paling komprehensif tentang pemikiran Bennabi yang pernah diterbitkan.

Perdana Menteri dalam pada itu turut mendukung usul kepada dunia akademik agar kajian masa depan terutamanya UIAM supaya bukan sahaja memanfaatkan daripada pemikiran semasa, tetapi memikirkan serta meneka masa depan yang terumbang-ambing dalam pelbagai cabaran antaranya persekitaran iklim yang berubah, geopolitik yang tidak menentu, politik yang sudah terhakis nilai kebenaran termasuk cabaran teknologi baru.
“Dalam keadaan dan negara kita di persimpangan sama ada mengekalkan pemikiran dan kebergantungan kita dengan pola pemikiran sekarang atau memberi ruang untuk pemikiran dan kajian masa depan,” tambah beliau.
Wawasan daripada kajian masa depan, terutamanya teori zaman pascamormal, Profesor Sardar telah pun memberi pengaruh terhadap rangka kerja dasar seperti SCRIPT dan Malaysia MADANI.

Beliau berharap agar IIFS dapat membina atas asas ini, melahirkan pemikir dan pembuat dasar yang bersedia untuk menangani cabaran yang masih berada di luar jangkauan.
“Acara hari ini memberikan satu impak yang tinggi dari sudut dunia ilmu dengan memanfaatkan pemikir ulung dari Algeria, Malik Bennabi serta memperkenalkan institut yang memberikan asas kepada kita berfikir cara berani dan matang,” katanya lagi.
Dua idea ini walaupun berbeza, ianya dihubungkan oleh komitmen terhadap pembaharuan intelektual, penyelidikan kritis, dan pembentukan masa depan yang adil. Beliau menekankan bahawa kedua-dua usaha ini mencerminkan semangat Malaysia MADANI.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada IIUM atas pencapaian luar biasa ini,” tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman; dan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bin Bakar.