Imam Abu Hanifah (Bhgn. 2)

IMAM Abu Hanifah bukan sekadar memiliki ilmu yang tinggi bahkan memiliki personaliti yang sangat baik, menarik dan budi pekerti yang mulia. Pernah disebutkan oleh anak muridnya yang tekemuka, Imam Al-Qadhi Abu Yusuf “Imam Abu Hanifah adalah seorang yang sederhana dan tidak tinggi, tidak rendah, termasuk orang yang paling kacak wajahnya, paling fasih perbicaraannya, paling sedap suaranya dan paling terbukaterhadapapa yang ada dalam dirinya. Menerusi segmenIbrah (SalafusSoleh) yang bersiarandi IKIMfm, Ustaz Muhadir Hj. Joll menyambung kisah mengenai Imam Abu Hanifah.

Manakala anaknya, Hammad  menyebut “ayahku seorang yang kacak, kulit hitam manis, perwatakan yang menarik, selalu berwangi-wangian, digeruni serta berwibawa. Beliau tidak bercakap melainkan menjawab pertanyaan atau persoalan dan beliau tidak membuang masa membicarakan perkara-perkara yang tidak perlu”. Imam Abu Hanifah sangat menjaga keterampilan. Terdapat satu riwayat menyebutkan, pakaiannya ada sehingga 30 dinar. Imam Abu Yusuf menceritakan “Imam Abu Hanifah sangat menjaga kebersihan pakaiannya sehingga tidak nampak sedikitpun kusut mahupun kotor”.

Menurut Syaikh Ahmad Al-‘Ajuli mengatakan “Imam Abu Hanifah merupakan seorang penjual kain bulu bertenun sutera”. Beliau bekerja sendiri dan tidak mengharapkan simpati orang lain. Kewarakan Imam Abu Hanifah menjadikan beliau individu Muslim yang tidak menuntut jawatan. Beliau pernah diminta oleh khalifah untuk menjadi hakim tetapi beliau menolak. Beliau mengatakan beliau tidak layak. Khalifah berkata “Kamu berbohong”. Lalu Imam Abu Hanifah menjawab “Sesungguhnya Amirul Mukminin telah menghukumkan ke atas saya yang saya tidak layak. Maka, sekiranya saya berbohong, maka jelaslah saya tidak layak untuk menjadi hakim. Sekiranya saya seorang yang benar, maka saya telah katakan kepada kamu bahawa saya tidak layak”. Imam Az-Zahabi berkata “Sesungguhnya ramai yang meriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah telah banyak kali dipukul sebagai suatu paksaan untuk beliau menerima jawatan hakim tetapi beliau tetap tidak menerimanya”.

Imam Abu Hanifah seorang yang sangat tawadhu’ kerana memiliki seorang guru yang jauh lebih muda daripada beliau, Imam Malik. Pernah pada satu ketika, Imam Abu Hanifah berjumpa Imam Malik yang sedang duduk bersama beberapa sahabatnya. Kemudian, setelah Imam Abu Hanifah keluar, Imam Malik bertanya kepada sahabatnya “Tahukah kamu siapa dia?” Mereka mengatakan tidak. Lalu kata Imam Malik “Dialah Nu’man bin Thabit. Sekiranya dia berkata bahawa tiang masjid itu emas, nescaya perkatannya akan digunakan oleh orang ramai sebagai hujah.” Pernah juga Imam Malik mengatakan “Sekiranya dia mengatakan tanah ditanganmu itu emas, pasti engkau akan mempercayainya.” Ini membuktikan bahawa beliau seorang yang boleh dipercayai kerana memiliki kekuatan dalam berhujah, cepat daya fikiran dan cerdas serta tajam pemikirannya.

Pernah satu ketika, seorang perempuan datang hendak bertanya soalan peribadi kepada Imam Abu Hanifah. Setibanya di rumah beliau, perempuan tersebut tidak masuk ke rumah, tetapi hanyak mewakilkan seorang lelaki sambil membawa dua biji epal, satu merah dan satu kuning. Imam Abu Hanifah kemudian bertanya “Siapa yang menghantarmu untuk membawa dua biji epal ini?” Kemudian, lelaki tersebut menjawab “Perempuan itu (sambil menunjukkan jarinya ke arah seorang perempuan di depan pintu). Dia sedang menunggu jawapan.” Imam Abu Hanifah lalu membelah sebiji epal dan menyuruhnya memberikan kembali epal-epal tersebut kepada perempuan tadi. Perempuan tersebut faham dengan isyarat yang diberikan oleh Imam Abu Hanifah mengenai epal itu dan itulah jawapan pertanyaannya.

Sebenarnya perempuan tersebut bertanyakan penjelasan tentang darah haid. Dek kerana segan, beliau mewakilkan dua orang laki dan memberikan epal tersebut. Persoalannya apakah perempuan dikira suci jika darah merah bertukar kepada warna kuning seperti epal merah dan epal kuning yang diberikannya kepada Imam Aabu Hanifah. Belahan Imam Abu Hanifah itu seolah-olah menjawab persoalan, dia akan dikira suci jika darah sudah menjadi bersih putih seperti putih isi epal yang dibelah tadi.

Imam Abu Hanifah merupakan seorang yang berharta, namun beliau tidak kedekut malah sangat dermawan. Ibrahim bin Uyainah pernah dipenjarakan kerana berhutang sebanyak 4000 dirham. Kesemua hutaang tersebut telah dilunaskan oleh Imam Abu Hanifah. Pernah satu ketika di dalam majlis ilmu Imam Abu Hanifah, beliau terlihat salah seorang yang hadir dengan pakaian yang agak lusuh dan lama serta tidak terurus. Beliau kemudian menyuruhnya duduk dan berpesan agar orang tersebut jangan pulang dahulu. Ketika semua orang sudah balik, beliau berkata kepada orang itu “Angkatkan apa yang ada di bawah tikar tempat dudukmu dan ambillah.” Ketika orang tersebut menyelak tempat duduknya, dia mendapati seribu dirham terdapat di situ. Orang itu lalu berkata “aku adalah seorang kaya dan aku tidak perlu kepada pemberian ini.” Imam Abu Hanifah menjawab “Apakah kamu tidak pernah mendengar hadith Rasulullah SAW.” Sesungguhnya Allah SWT suka melihat kesan, nikmat yang diberikan kepada hamba-hamba-Nya.”

Begitulah kisah hebat Imam Abu Hanifah yang ilmunya sentiasa mengalir sehingga kini dan diamalkan oleh umat Islam seluruh dunia. Semoga Allah SWT meredhai imam yang sangat agung dan mulia ini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Ogos 2017
\"\"
Scroll to Top