IKP 2025 BUKTIKAN KEBERHASILAN KURIKULUM KAFA 2.0 DALAM HAFAZAN AL-QURAN

PUTRAJAYA, 26 Nov (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar hari ini mengumumkan keputusan Ithbat Kelas al-Quran dan Fardu Ain PraTahfiz (IKP) Tahun 2025, yang disifatkan sebagai detik penting yang dinantikan oleh para ibu bapa dan calon IKP di seluruh negara.

Beliau berkata pendidikan Islam di peringkat awal seperti Kelas KAFA terus diberi keutamaan kerana menjadi elemen asas dalam mencapai matlamat transformasi negara, khususnya dalam melahirkan generasi Rabbani yang mampu memimpin ummah pada masa hadapan.

IKP merupakan kaedah penilaian hafazan mengikut surah yang diperkenalkan dalam kurikulum KAFA 2.0 sejak tahun 2020. Antara tujuan utama JAKIM memperkenalkan IKP adalah untuk melahirkan murid yang berkemampuan menghafaz juzuk 30 dan boleh mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian secara istiqamah,” kata beliau. 

Calon IKP Tahun 2025 merupakan kumpulan pertama yang menjalani penilaian penuh selepas mengikuti Ujian KAFA PraTahfiz (UKP) di Tahun 3, 4 dan 5 serta penilaian Ithbat di Tahun 6.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana menjadi antara negeri terawal membuka KAFA PraTahfiz dan melaksanakan proses Ithbat sepenuhnya.

“Usaha ini selari dengan aspirasi Membangun Malaysia MADANI serta mendukung Pelan Transformasi Al-Falah Hal Ehwal Agama yang menekankan kesejahteraan insan melalui pembangunan ummah secara holistik,” tambah beliau. 

Mohd Na’im berkata laporan keputusan IKP 2025 menunjukkan pencapaian amat membanggakan dengan Gred Purata Skor (GPS) 2.09 serta 100 peratus calon mencapai tahap keseluruhan yang ditetapkan.

Beliau menegaskan bahawa kecemerlangan murid tidak hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi melalui kemampuan mereka melazimi kalam Allah serta mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

“Saya yakin anak-anak yang mengikuti KAFA PraTahfiz akan menjadi generasi cerdas, berakhlak dan mampu menyemarakkan lagi syiar Islam di bumi Malaysia,” ujar beliau.

Foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im

WhatsApp
Scroll to Top