IKLAN BADAL HAJI, UMAT ISLAM DIINGAT LEBIH BERWASPADA

PUTRAJAYA, 31 Dis (IKIM) — Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar lebih berwaspada dan menyemak kesahihan sebarang tawaran perkhidmatan badal haji yang diiklankan secara meluas di surau, masjid serta platform media sosial bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kebanyakan pakej badal haji yang ditawarkan oleh agensi pelancongan atau individu tertentu sukar dilaksanakan secara sah, khususnya apabila ditawarkan pada harga yang tidak munasabah dan jauh lebih rendah berbanding kos sebenar menunaikan haji.

Menurut beliau, setiap jemaah haji, termasuk penduduk tempatan Arab Saudi, diwajibkan memiliki visa atau permit haji yang sah sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan Arab Saudi mewajibkan jemaah luar negara memiliki visa haji yang sah, manakala penduduk tempatan pula perlu mendapatkan permit khas dan tidak semua permohonan akan diluluskan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, kos terendah pakej haji bagi penduduk tempatan Arab Saudi adalah sekitar SR10,000 (RM11,300) yang hanya meliputi permit dan khemah di Masyair, tidak termasuk kos penginapan, makanan dan pengangkutan.

Sehubungan itu, Dr. Zulkifli berkata tawaran perkhidmatan badal haji serendah RM1,500 adalah tidak munasabah dan wajar menimbulkan keraguan dalam kalangan orang ramai.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa pada musim haji 1447H/2026, Kerajaan Arab Saudi akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat terhadap jemaah yang menggunakan visa atau permit tidak sah.

“Mereka yang ditangkap boleh dikenakan hukuman denda, penjara serta disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi untuk tempoh beberapa tahun,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia bersama Lembaga Tabung Haji sentiasa memberi peringatan dan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menyemak kesahihan pakej haji dan badal haji bagi mengelakkan penipuan.

Dalam pada itu, kerajaan akan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan peraturan sedia ada terhadap individu atau syarikat pelancongan yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan pakej haji dan badal haji.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki atau menjadi mangsa penipuan agar siasatan serta tindakan perundangan dapat diambil bagi melindungi kepentingan pengguna dan memelihara integriti industri pelancongan negara.

WhatsApp
Scroll to Top