JAKARTA, 19 Jun (IKIM) – Delegasi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini berkunjung ke Radio Republik Indonesia (RRI) di Jakarta dalam siri Jelajah Mahabbah MADANI IKIMfm Jakarta 2025.
Kunjungan yang berlangsung sekitar dua jam itu bagi bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta meluaskan jaringan siaran antara dua stesen, IKIMfm dan RRI.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata beliau positif akan jalinan kerjasama yang boleh diusahakan dalam memperkasa perkongsian antara dua negara.
Ketua Editor Siaran Luar Negeri (Voice of Indonesia), RRI, Widhie Kurniawan turut berkongsi pandangan dan pengalaman bersama delegasi IKIM tentang operasi penyiaran Voice of Indonesia.

Selain itu, Mohamed Azam dalam kunjungan tersebut turut berpeluang diwawancara Voice of Indonesia bagi berkongsi peranan dan sumbangan IKIM dalam menyampaikan kefahaman Islam bagi masyarakat Islam mahupun bukan Islam, dalam dan luar negara.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut Pengarah Pusat Media IKIM, Hj. Ahmad Fuad Mat Ali; Pengurus Komunikasi Strategik Pusat Media, Hajah Fairuz Hj. Noordin; dan Pengurus tvIKIM, Mohd Khairul Omar.
Lawatan kerja IKIM ke Jakarta antara lain bagi memperluas peranannya di peringkat antarabangsa termasuk mengadakan dialog agama bersama penganut pelbagai agama dalam penganjuran Forum Bicara Ad-Din.
IKIM dalam kunjungan enam hari itu turut menyantuni anak muda di Universitas Nasional (UNAS), Jakarta menerusi penganjuran Khabar Orang Muda membicarakan peranan Gen Z dalam bidang pendidikan rentas sempadan.

Wartawan : Faiz Hj. Othman
Jurugambar : Shafawi Hamzah