KUALA LUMPUR, 21 Mei (IKIM) – Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) dinobatkan sebagai penerima tempat pertama menerusi Majlis Anugerah Media Agrobank 2024/2025 kategori Anugerah Media Radio anjuran Agrobank dan Malaysia Press Institute (MPI).
Penerbit dan penyampai IKIMfm, Siti Rohani Surani memenangi anugerah tersebut menerusi rancangan Agro Bisnes dengan tajuk “Agroekologi untuk Agribisnes Lestari” yang membolehkan beliau membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM5,000.

Rancangan Agro Bisnes yang membawakan kisah industri pertanian dan agro itu bersiaran di IKIMfm setiap Khamis, 3.15 petang.
Anugerah berkenaan disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Anugerah ini sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen pengamal media, bagi mengiktiraf laporan berkualiti berkaitan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan penghargaan pihaknya terhadap peranan penting media dalam membentuk naratif positif tentang pembangunan sektor pertanian di negara ini.

“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP), Agrobank amat menghargai sokongan berterusan rakan-rakan media yang melaporkan dengan penuh integriti serta menjadi jambatan penghubung antara syarikat dan masyarakat,” katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Agro Biz Awards 2025, sebuah platform anugerah berprestij yang bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan para pemain industri tani dalam memperkukuh agenda keselamatan makanan negara.
Turut hadir Pengarah Pusat Media IKIM, Ahmad Fuad Mat Ali.
