KUALA LUMPUR, 26 Nov (IKIM) — Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) antara 40 pengamal media dan wartawan yang meraih anugerah pada malam Anugerah Media Pembinaan CIDB 2024 (AMP 2024).
IKIMfm yang dinobatkan dengan pencapaian merit bagi kategori Media Penyiaran Radio yang pertama kali diperkenalkan dalam AMP ini mempertaruhkan rancangan Analisis dengan kupasan tajuk “Ke Mana Hilangnya Jurutera” terbitan Hj. Mahathir Shaharuddin, Pengurus Besar IKIMfm yang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi serta sijil.
Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Terdahulu, Ahmad dalam ucapannya berkata media merupakan rakan strategik kementerian yang membantu menyampaikan usaha dilaksanakan pihaknya kepada rakyat.
Pada majlis itu, seramai 40 pengamal media menerima anugerah dan sebanyak 191 penyertaan diterima bagi semua kategori sejak penyertaan dibuka pada April.
Anugerah yang diadakan kali ketujuh, memberi penghargaan kepada media yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif kerajaan dalam industri pembinaan.
AMP 2024 yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) ini bertujuan menggalakkan kandungan kewartawanan dan media massa mengenai industri pembinaan termasuk kupasan berkaitan isu keselamatan, kelestarian alam sekitar serta penggunaan teknologi.