IKIM TEGUR PEMIMPIN POLITIK UTAMAKAN KEMENANGAN POLITIK BERBANDING IBADAH HAJI DAN UMRAH

KUALA LUMPUR, 21 April (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa kenyataan mana-mana pemimpin politik yang dilihat mengutamakan kemenangan politik berbanding ibadah haji dan umrah adalah tidak wajar dan boleh mengundang salah faham dalam kalangan umat Islam.

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, ibadah haji adalah rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan sebagaimana ditegaskan dalam Surah Ali Imran, ayat 97 manakala ibadah umrah pula adalah sunat yang sangat digalakkan, dengan ganjaran besar di sisi Allah SWT seperti yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW.

“Pemimpin politik sebagai individu yang menjadi teladan dalam masyarakat seharusnya menunjukkan keseimbangan antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan ukhrawi. Mengutamakan kemenangan politik sehingga mengabaikan atau merendahkan nilai ibadah seperti haji dan umrah boleh mencerminkan kekeliruan dalam memahami peranan agama dalam kehidupan, lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang di mana giliran menunggu untuk menunaikan haji mengambil masa yang begitu panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau penangguhan untuk menunaikan ibadah haji atas faktor kesihatan dan keselamatan adalah rukhsah yang dibenarkan oleh syarak dan tidak boleh sama sekali disamakan dengan penangguhan hanya kerana perlu mengundi dalam pilihanraya.

“Islam mengajar bahawa kejayaan duniawi tidak boleh mengatasi kewajipan beribadah kepada Allah SWT kerana kehidupan di dunia ini bersifat sementara berbanding akhirat yang kekal,” katanya.

Sehubungan itu, IKIM menyeru agar semua pihak, terutama pemimpin politik, lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang berkaitan dengan isu keagamaan, selain turut menggesa pemimpin mempromosikan nilai-nilai murni Islam termasuk mengutamakan ibadah dan akhlak mulia

IKIM turut menyeru masyarakat untuk terus mendalami ilmu agama agar dapat membezakan antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan spiritual.

IKIM kekal komited untuk memupuk kefahaman Islam yang seimbang dan menyeluruh demi kemaslahatan ummah.

WhatsApp
Scroll to Top