IKIM TEGASKAN KEPENTINGAN MENGHORMATI KEPELBAGAIAN AGAMA DI MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR, 5 Mac (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan kepentingan menghormati kepelbagaian agama dalam penggunaan media sosial bagi memastikan keharmonian sosial terus terpelihara. 

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebebasan bersuara di media sosial mesti disertai dengan tanggungjawab dan kepekaan yang tinggi, terutama dalam perkara berkaitan sensitiviti agama dan kepercayaan.

“Tindakan mempersendakan atau menghina agama lain adalah dilarang dalam Islam, tidak beretika, dan boleh membawa kepada ketegangan sosial. Oleh itu, masyarakat dinasihatkan untuk mengamalkan beberapa garis panduan dalam penggunaan media sosial,” ujar beliau. 

Beliau menambah, pengguna media sosial harus menghormati kepelbagaian agama dalam mengekalkan kehamornian serta mengelakkan kandungan provokatif, menghina, atau mempersendakan mana-mana agama kerana tindakan ini boleh mencetuskan konflik dalam masyarakat.

Kenyataan tersebut turut menggesa masyarakat untuk sentiasa peka dan bertanggungjawab dalam membuat sesuatu hantaran di media sosial serta mengamalkan nilai-nilai toleransi dalam kalangan masyarakat. 

IKIM turut menekankan agar masyarakat melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau kepada platform media sosial yang berkaitan sekiranya terdapat kandungan yang menghina atau mempersendakan agama. 

IKIM dalam pada itu turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memelihara keamanan dan keharmonian negara dengan menjadikan media sosial sebagai platform yang positif, membina, dan menyatukan masyarakat. 

“Dengan sikap saling menghormati dan bertanggungjawab, Malaysia dapat terus maju sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni,” tambah beliau. 

WhatsApp
Scroll to Top