KUALA LUMPUR, 17 Sept (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan lantang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha semalam, yang mengecam keras serangan udara rejim Israel ke atas ibu negara Qatar.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil menegaskan, tindakan Israel itu jelas tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang antarabangsa, menceroboh kedaulatan negara berdaulat serta menggugat keselamatan rantau.
“IKIM berpandangan serangan ini bukan sahaja ancaman kepada Qatar, tetapi juga terhadap keseluruhan dunia Islam dan masyarakat antarabangsa, selain mencabar prinsip kedaulatan negara serta menjejaskan keamanan global,” katanya.
IKIM dalam pada itu menggesa dunia Islam serta komuniti antarabangsa mengambil langkah segera, termasu mencadangkan resolusi tergempar di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menggerakkan pasukan pengaman antarabangsa untuk menghentikan serangan Israel.
Saranan juga melibatkan perlindungan penuh kepada inisiatif Global Sumud Flotilla bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza serta menghentikan hubungan rasmi dengan Israel sebagai tanda bantahan.
Mohamed Azam turut menggesa agar dilaksanakan sekatan import-eksport serta memperluas boikot terhadap Israel dalam bidang penyelidikan, pendidikan, budaya, dan pelancongan. Cadangan juga dibuat agar kes genosid Israel dibawa secara kolektif ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Langka ini menzahirkan kesungguhan negara Islam untuk tidak hanya mengecam secara retorik, tetapi mendorong kepada perubahan melalui mekanisme undang-undang dan politik global,” tambah beliau.
Sempena Hari Malaysia, IKIM turut menyeru rakyat mengekalkan perpaduan nasional dan bersama-sama mendukung usaha Perdana Menteri dalam memperjuangkan keamanan di Asia Barat serta pembebasan Palestin.