IKIM SOKONG KEMPEN ‘KOSPEN WOW’ KKM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini melancarkan Kempen Gaya Hidup Sihat IKIM 2025 dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) dan Putrajaya. 

Inisiatif IKIM ini bagi menyokong kempen yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Wellness on Workplace (WOW) yang telah digerakkan sejak 2016. 

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata kempen ini bukanlah sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen bersepadu IKIM bersama KKM melalui inisiatif KOSPEN WOW dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan kondusif. 

“Kempen hari ini sebagai satu kempen kesedaran kepada warga kerja IKIM supaya kita menjadi warga yang sihat,” kata beliau ketika ditemui media di sini, hari ini. 

Beliau berkata kerjasama julung kali IKIM bersama Jabatan Kesihatan Wilayah KL & Putrajaya menerusi kempen KOSPEN WOW ini diharap dapat membantu melahirkan warga kerja IKIM yang sihat dan mampu melaksanakan tanggungjawab untuk ummah dan negara. 

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah KL & Putrajaya, Dr. Nor’aishah Abu Bakar ketika ditemui media berkata KKM bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk pastikan pekerja-pekerja di Malaysia dalam keadaan sihat. 

“Lebih kurang 48% populasi di Malaysia adalah warga pekerja dan ini dilihat sebagai satu platform yang bagus untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pekerja seterusnya menjadi budaya dalam kalangan masyarakat,” kata beliau.  

Dr. Nor’aishah berkata objektif utama adalah untuk mengurangkan kes-kes penyakit tidak bertjangkit (NCD) seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung yang berpunca daripada amalan gaya hidup termasuk amalan pemakanan. 

“Oleh kerana amalan pemakanan dan gaya hidup rakyat Malaysia yang menyumbang kepada penyakit NCD ini, maka KKM tampil dengan kempen KOSPEN WOW ini,” tambah beliau. 

Program sehari ini turut menampilkan ‘Bual Bicara Inspirasi Kesihatan : Tekad Azam Tanpa Asap’ membawakan perbincangan berkaitan berhenti merokok oleh Dr. Takdir Singh Riar, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tanglin dan Zafeeq Zulkafly, Pengurus Pemasaran dan Promosi IKIM serta pemeriksaan dan konsultasi kesihatan. 

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail. 

WhatsApp
Scroll to Top