KUALA LUMPUR, 2 Nov (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyuarakan rasa kesal terhadap kenyataan terbuka yang dikeluarkan oleh seorang ahli akademik berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM dalam satu kenyataan berkata saranan ahli akademik tersebut dilihat sebagai tindakan terburu-buru yang hanya berdasarkan perbezaan pandangan semata-mata.
“Tindakan ini boleh menjejaskan kredibiliti institusi pentadbiran agama serta melangkau adab dan tatasusila kesopanan,” ujar beliau.
IKIM menyeru semua pihak agar menghormati institusi agama dan proses perundangan yang sedang berjalan, terutama dalam isu yang melibatkan hal ehwal agama dan mufti.
IKIM dalam kenyataan tersebut mengakui bahawa RUU Mufti Wilayah Persekutuan telah menimbulkan perdebatan serta perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat. Namun, IKIM menyarankan agar semua pihak mengambil pendekatan terbuka dan berbincang secara berhemah demi mencari penyelesaian terbaik bagi isu ini.
Sementara itu, IKIM turut menasihati ahli akademik berkenaan untuk memohon maaf atas keterlanjuran kenyataan yang dikeluarkan serta menyeru semua pihak merujuk kepada slot “Analisis” di TV AlHijrah yang menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan pada 29 Oktober lalu bagi penjelasan lanjut berkaitan RUU tersebut.
IKIM percaya bahawa Mufti Wilayah Persekutuan telah memberikan penjelasan yang komprehensif dan berautoriti terhadap isu yang dibangkitkan.
IKIM dalam pada itu turut menyeru semua pihak untuk menghentikan sebarang spekulasi dan provokasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan serta mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama memelihara kehormatan institusi pentadbiran agama, serta menjaga keharmonian dan kestabilan negara.