IKIM SERTAI RAJA MUDA PERLIS SANTUNI ASNAF

KANGAR, 11 Disember (IKIM) – Delegasi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang diketuai oleh Pengerusinya, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty menyertai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program Kayuhan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) Peduli di sini hari ini. 

Program yang masuk siri kayuhan ke-107 bagi tahun 2024 ini bagi memberi peluang kepada Baginda menyantuni para asnaf setempat dengan menyalurkan bantuan zakat antaranya berupa wang tunai, barangan keperluan harian beserta barangan dapur. 

Program yang telah mendekatkan Baginda dengan masyarakat setempat ini turut disertai oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; dan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail serta Ahli Lembaga Pengarah IKIM. 

Sementera itu Ketua Pengarah IKIM ketika berucap dalam satu majlis ringkas yang turut meraikan delegasi IKIM melahirkan rasa teruja dan terharu dengan cara Baginda menyantuni para asnaf melalui aktiviti yang sangat dekat dengan masyarakat disamping dapat beriadah mengayuh basikal. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, menyifatkan program ini mencatat sejarah buat MAIPs apabila berjaya mencapai kayuhan ke-107 dalam program Kayuhan MAIPs Peduli hari ini, mengatasi rekod tertinggi sebanyak 106 kayuhan yang dicapai pada tahun 2015.

“Kayuhan ke-107 ini melambangkan keprihatinan dan kesungguhan MAIPs untuk terus mendekati asnaf, dan kami berbangga dapat mencipta rekod baharu ini bersama sokongan semua pihak,” katanya.

Program Kayuhan MAIPs Peduli ini bukan sahaja bertujuan menyantuni asnaf, tetapi turut memupuk semangat kerjasama antara pelbagai agensi di Perlis dan pihak luar, sekaligus mengangkat Perlis sebagai contoh negeri yang aktif dalam usaha kebajikan.

Delegasi IKIM sebelum itu tiba di Galeri DiRaja Arau, Perlis bagi majlis menghadap Baginda untuk mempersembahkan peranan serta fungsi IKIM dalam menyampaikan kefahaman Islam sebenar kepada masyarakat dengan pelbagai kaedah antaranya menerusi penganjuran program-program akademik, sesi dialog, penulisan serta peranan medianya. 

Ketua Pengarah IKIM menyifatkan pertemuan kira-kira dua jam itu amat bermakna dan berhasil dengan saling bertukar pandangan terhadap isu-isu semasa yang berkaitan dengan ummah. 

Foto : Nik Hasnah Ismail

WhatsApp
Scroll to Top