IKIM SAMBUT BAIK KEPUTUSAN AIRASIA BENARKAN PRAMUGARI BERHIJAB MULAI TAHUN HADAPAN

KUALA LUMPUR, 9 Dis (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik keputusan AirAsia untuk membenarkan pramugari Muslimah berhijab bermula tahun hadapan, dengan menyifatkannya sebagai langkah progresif yang menghormati hak beragama serta martabat wanita dalam sektor pekerjaan.

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, keputusan tersebut menunjukkan kepekaan industri terhadap keperluan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif, selamat dan menghormati pegangan agama pekerja.

“Langkah ini selaras dengan prinsip kebebasan beragama, keadilan sosial dan penghormatan terhadap identiti wanita Muslim. Ia juga merupakan kejayaan pendekatan perubahan berperingkat (al-Tadarruj) dalam ijtihad kontemporari,” katanya dalam kenyataan malam tadi. 

Beliau berkata dasar baharu itu membuktikan syarikat penerbangan moden mampu menyeimbangkan profesionalisme, kepelbagaian budaya dan keperluan operasi tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan.

IKIM turut mengiktiraf inisiatif tersebut sebagai model amalan terbaik (best practice) yang wajar dicontohi organisasi korporat lain dalam usaha menegakkan nilai harmoni, saling menghormati serta keserasian antara tuntutan agama dan kehendak industri.

“Langkah ini memperkukuh imej Malaysia sebagai negara majmuk yang meraikan kepelbagaian dalam kerangka kehormatan dan integriti kemanusiaan,” tambah beliau. 

IKIM menegaskan sokongan terhadap dasar tempat kerja yang menghormati hak berpakaian patuh Syariah, seiring dengan prinsip maqasid Syariah dalam menjaga maruah, kebebasan beragama dan kesejahteraan pekerja. Persekitaran kerja yang sensitif terhadap nilai agama, katanya, akan memberi kesan positif kepada moral pekerja, reputasi organisasi dan keharmonian negara.

Beliau dalam pada itu turut menyatakan komitmen IKIM untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi mempromosi nilai harmoni, kefahaman antara budaya serta pengukuhan piawaian etika dan Syariah dalam sektor pekerjaan dan perkhidmatan negara.

WhatsApp
Scroll to Top