PUTRAJAYA, 9 Dis (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya memenangi Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia – Kementerian Pendidikan Tinggi (MAPIM-KPT) ke-16 bagi kategori Buku Ilmiah Terbaik Sains dan Teknologi melalui judul buku “Vaksinasi dari Perspektif Sains dan Islam”.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata kemenangan itu merupakan satu pencapaian besar yang mencerminkan mutu penulisan dan penerbitan IKIM, selain menjadi motivasi kepada keseluruhan warga institusi untuk terus menghasilkan karya berkualiti pada masa hadapan.

“Alhamdulillah, ini kemenangan pertama IKIM bagi kategori buku ilmiah. Ia bukan calang-calang kerana kita bersaing dengan profesor dan warga akademik universiti di seluruh negara, sama ada IPTA mahupun IPTS,” kata beliau.
Beliau ditemui Berita IKIMfm pada Majlis Anugerah MAPIM-KPT ke -16 di Dewan Za’ba KPT, di sini hari ini.
Buku tersebut yang dihasilkan bersama oleh Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh; Mohammad Mustaqim Malek; dan Mohd Izzuddin Hasanudin diangkat sebagai pemenang utama bagi kategori Sains dan Teknologi.
Sementara itu, penulis buku berkenaan, Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen yang juga Pengarah Unit Pengurusan Penyelidikan IKIM, menyifatkan pengiktirafan MAPIM-KPT sebagai pelengkap kepada anugerah pertama yang diterima buku tersebut melalui Anugerah Buku Negara minggu lalu.

“Alhamdulillah, buku Vaksinasi dari Perspektif Sains dan Islam telah mendapat dua pengiktirafan, Anugerah Buku Negara dan hari ini Anugerah MAPIM-KPT. Ini pengiktirafan besar kerana buku ini memenuhi keperluan memberi kefahaman Islam tentang isu-isu semasa,” jelas beliau.
Menurutnya, penulisan buku tersebut mengambil pendekatan rentas bidang dengan menggabungkan fakta sains dan hujah Islam secara seimbang bagi merungkai kekeliruan masyarakat terhadap vaksin.
“Buku ini menyampaikan fakta daripada perspektif sains dan juga Islam mengenai isu yang menjadi perbahasan dalam masyarakat. Diharapkan ia dapat mencerahkan kekusutan yang timbul tentang isu vaksinasi,” tambah beliau.

Mengulas hala tuju selepas kemenangan, Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen yakin penerbit IKIM akan terus menjadi rujukan dalam karya ilmiah Islam yang menangani isu kontemporari.
“Penerbit IKIM sentiasa menerbitkan buku berkualiti dengan piawaian tinggi. Kita mempunyai tumpuan untuk melihat isu semasa daripada perspektif Islam. Pendekatan rentas bidang ini dicari pembaca, dan insya-Allah kualiti buku IKIM memang tinggi,” katanya lagi.
Anugerah MAPIM-KPT ke-16 ini mempertaruhkan 22 anugerah dengan penyertaan sehingga 249 peserta.
Turut hadir Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman; dan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail.
Foto: Fathulmungin Mohd Yusof




