KUALA LUMPUR, 27 Sept (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) menganjurkan Bengkel Hibah Sebagai Instrumen Perancangan Harta Keluarga Islam di Malaysia di sini hari ini.
Program sehari itu bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan hibah sebagai salah satu instrumen perancangan harta menurut syarak, selain memberi pendedahan mengenai pelbagai bentuk hibah seperti hibah mutlak, hibah ‘umra, hibah ruqba serta hibah amanah.

IKIM dalam satu kenyataan berkata peserta turut diberi panduan praktikal berkaitan penyediaan dokumentasi hibah yang sah dari sudut syarak dan undang-undang.
Antara perkongsian berkaitan hibah melibatkan hukum hakam, amalan di sektor korporat, hibah amanah serta aspek dokumentasi hibah.
Bengkel dengan penyertaan 64 peserta ini mengajak peserta mengikuti perkongsian oleh Timbalan Dekan Prasiswazah, Fakulti Pengajian Islam Univsiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd Zamro Muda selain Ketua Pengurusan Syariah PNB, Dr. Ahmad Basri Ibrahim.

Bengkel ini turut menampilkan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UKM, Datin Dr. Noor Lizza Mohamed Said dan Peguam Syarie, Mohd Faiz Adnan
Bengkel ini menarik peserta daripada pelbagai latar belakang dan profesion, serta membuka ruang dialog ke arah memperkukuh pelaksanaan hibah di Malaysia secara lebih tersusun dan efisien.
Bengkel ini turut dihadiri Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM, Dr. Nik Roskiman Abdul Samad.
