IKIM LANCARKAN TIGA BUKU INFOGRAFIK PENGURUSAN HARTA KELUARGA ISLAM

Kuala Lumpur, 28 Mei (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini melangsungkan Majlis Pelancaran Buku Terbitan IKIM di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, Pentas Utama, Pusat dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Majlis pelancaran tiga buku berbentuk Infografik melalui Siri Infografik Hifz Al-Mal atau Pengurusan Harta Keluarga Islam telah disempurnakan oleh Pengerusi IKIM, Prof. Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Dato’ Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir ; Ketua Pengarah IKIM, Pro.f Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail.

Karya Siri Infografik ini merangkumi tiga tajuk iaitu Hibah, Harta Sepencarian dan Wasiat yang mana dapat membantu orang awam memperoleh informasi dari sudut panduan dan prosedur berkenaan pengurusan hal ehwal keluarga Islam.

Dalam pada itu, karya terbitan IKIM boleh didapati di dua lokasi reruai iaitu Pavilion Al-Falah di Dewan Merdeka serta reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia MAPIM di aras empat, WTCKL.

IKIM juga turut menyediakan pelbagai aktiviti di Pavilion Al-Falah sepanjang PBAKL berlangsung, antaranya “ Meet & Greet IKIMfm” beramah mesra bersama penyampai radio IKIMfm, “ Slot Refleksi Buku” iaitu sesi bedah buku oleh penulis dan penyunting serta “ Acara Dari Konti Ke Pentas”, program bual bicara secara langsung bersama para penyampai radio IKIMfm.

Sementara itu, reruai IKIM di PBAKL2024 turut menjadi ruang bagi menyebarkan maklumat berkenaan IKIM agar ilmu dan kefahaman dapat diberikan kepada masyarakat secara berterusan.

WhatsApp
Scroll to Top