IKIM LANCAR TABUNG DANA WAKAF

KUALA LUMPUR, 17 JULAI 2024 (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) semalam telah melancarkan Tabung Dana Wakaf IKIM dengan menyaksikan dua wakaf diperkenalkan untuk orang awam menyumbang bagi pembangunan komuniti.

Dua produk wakaf itu melibatkan wakaf media yang mengajak orang ramai untuk turut menyumbang bagi dana Aset Radio IKIM dan tvIKIM termasuk Dana Waktu Siaran (“Air Time) serta Dana Promosi Media Cetak dan Digital. 

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil turut mengajak orang awam untuk menyumbang bagi produk ilmiah menerusi dana wakaf ilmu yang sebahagiannya akan menumpukan pembangunan projek-projek penyelidikan, program-program akademik dan pembangunan fasiliti serta pembelian bahan-bahan ilmiah. 

Projek wakaf IKIM mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah melantik IKIM selaku mutawalli atau pentadbir aset wakaf pada 16 Februari lalu diharap dapat mencapai kutipan bagi 7 tahun pertama dengan sasaran kutipan RM 10 juta.

Ketua Pengarah IKIM ditemui media selepas menandatangani perjanjian pelantikan mutawalli antara IKIM dan MAIWP di Kuala Lumpur, semalam. 

Beliau turut berharap projek dana wakaf ini dapat membantu IKIM sebagai tangki pemikir kerajaan dalam menghasilkan pelbagai penerbitan dan program berskala besar. 

Majlis menandatangani perjanjian pelantikan mutawalli antara IKIM dan MAIWP disempurnakan oleh Ketua Pengarah IKIM bersama Datuk Mohd Nizam Hj Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP. 

Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi IKIM, Prof. Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi MAIWP, Tn. Hj. Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pengarah JAKIM, Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff. 

Scroll to Top