IKIM LANCAR BUKU KOLEKSI UCAPAN ALMARHUM PROF. DATO’ DR. MUHAMMAD NUR MANUTY

BANGI, 11 Dis (IKIM) – Buku Koleksi Ucapan Pengerusi IKIM yang menghimpunkan pemikiran, gagasan dan idea besar Almarhum Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty dilancarkan hari ini dalam Majlis Mengenang Jasa dan Sumbangan beliau yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, penerbitan koleksi tersebut merupakan usaha penting bagi mendokumentasikan warisan intelektual tokoh besar yang banyak menyumbang kepada pengukuhan wacana Islam di Malaysia.

Menurut beliau himpunan wacana dan ucapan Almarhum bukan sekadar untuk mengenang jasa, tetapi bertujuan menghidupkan semula semangat perjuangan dan pemikiran beliau agar terus berkembang dalam masyarakat.

“Kita melihat bahawa usaha IKIM ini adalah untuk menginstitusikan dan juga mendokumentasikan sumbangan oleh tokoh-tokoh yang dilahirkan di tanah air kita,” kata beliau. 

Beliau menegaskan bahawa negara mempunyai ramai tokoh ilmuan, cendekiawan dan aktivis berpengaruh, namun sebahagian besar pemikiran mereka tidak direkodkan secara sistematik. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan buku tersebut bersempena Majlis Mengenang Jasa dan Sumbangan Almarhum Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi IKIM yang kelima, di sini hari ini. 

Pada majlis tersebut turut berlangsung forum ‘Mengenang Murabbi Ummah’ menampikan panel, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; Setiausaha Politik Menteri Agama, Dr. Muhamad Razak Idris; dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Hj. Ahmad Azam Ab Rahman. 

Dr. Zulkifli turut memuji sesi pembentangan dan analisis oleh panel yang berjaya menonjolkan pemikiran strategik serta idea besar Almarhum, yang banyak memberi manfaat kepada gerakan ilmu dan pembangunan masyarakat.

“Yang lebih penting hari ini bukan hanya mengenang jasa, tetapi mencetuskan dan meneruskan perjuangan Almarhum dalam membina kekuatan intelektual, pemikiran serta keseimbangan dalam masyarakat,” tambah beliau. 

“Alhamdulillah, kupasan panel hari ini mengangkat dengan jelas pemikiran dan idea besar Almarhum. Kita memerlukan lebih ramai tokoh seperti beliau, yang mendedikasikan kehidupan untuk masyarakat, negara dan umat,” ujar beliau. 

Majlis tersebut turut menghimpunkan keluarga, ilmuan, sarjana, aktivis serta wakil institusi bagi memperingati sumbangan Almarhum yang merupakan Pengerusi IKIM yang kelima. 

Buku Koleksi Ucapan Pengerusi IKIM kini menjadi rujukan penting untuk memahami pemikiran beliau dalam pelbagai isu ummah dan pembangunan negara.

Turut hadir Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman dan Isteri Almarhum, Datin Fauziah Amran. 

WhatsApp
Scroll to Top