IKIM GESA TANGANI GEJALA SOSIAL BERASASKAN PRINSIP SADD AL-ZARĀ’I

KUALA LUMPUR, 1 Dis (IKIM) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menzahirkan kebimbangan serius terhadap kewujudan premis tertutup yang dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral, meskipun siasatan pihak berkuasa tidak membawa kepada sebarang pendakwaan akibat ketiadaan bukti teknikal yang mencukupi.

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, isu tersebut tetap berpotensi menjadi ruang kepada kerosakan sosial dan sewajarnya dicegah lebih awal berdasarkan prinsip Sadd al-Zarā’i dalam Islam.

Beliau berkata, prinsip itu menegaskan kewajipan mencegah apa jua perkara yang membuka peluang kepada maksiat, meskipun belum terbukti sebagai jenayah. 

“Premis yang menyediakan suasana atau kemudahan yang mendorong perlakuan salah walaupun tiada jenayah dibuktikan termasuk dalam kategori risiko syubhah tinggi dan perlu ditangani secara berhemah serta tegas,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

IKIM turut menekankan bahawa usaha membendung gejala sosial tidak seharusnya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh pendekatan restoratif. Pendekatan tersebut merangkumi pendidikan, kaunseling, intervensi komuniti dan pembinaan sokongan sosial yang dianggap lebih efektif dalam menangani masalah dari akar umbi.

“Pencegahan awal lebih selari dengan roh syariah berbanding tindakan yang bersifat menindas atau memberi stigma, yang tidak membantu proses pemulihan moral,” tambah beliau.

Sehubungan itu, IKIM menyokong usaha kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan agensi agama memperkemas garis panduan kawal selia terhadap premis tertutup, termasuk aspek perlesenan, pengawasan dan tindakan rentas agensi.

IKIM turut menyeru masyarakat supaya mengelakkan spekulasi berlebihan dan berhati-hati menilai maklumat yang tidak lengkap, terutama di media sosial, bagi mengelakkan kekeliruan serta fitnah.

Sebagai sebuah institusi pemikir Islam, IKIM komited untuk meneruskan penyelidikan, memberi panduan dasar dan menyediakan pencerahan kepada masyarakat agar isu-isu sensitif dapat ditangani secara ilmiah, beradab dan berlandas kehendak syariah.

WhatsApp
Scroll to Top