IKIM DAN UIAM JALIN KERJASAMA TINGKAT PENYELIDIKAN

GOMBAK, 2 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal membuka lembaran baharu dalam kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata kerjasama ini akan menjadi platform strategik bagi kedua-dua pihak meneroka potensi penyelidikan, dengan kedua-duanya berkongsi ekosistem intelektual yang serupa serta matlamat akademik yang seiring.

“IKIM mengendalikan tiga pusat penyelidikan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK); Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS); dan Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) yang terlibat dalam kerjasama penyelidikan bersama pelbagai universiti, baik dalam mahupun luar negara,” beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis pemeterian MOU antara IKIM dan UIAM di sini hari ini.

Beliau berkata ditambah dengan adanya Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) yang berperanan mengurus dan memacu budaya penyelidikan, potensi untuk perluasan kerjasama dengan UIAM sangat besar. 

“Antara bidang kerjasama yang bakal diperluas termasuklah penyelidikan bersama, penyeliaan pelajar pascasiswazah, pembangunan kurikulum serta penyebaran ilmu melalui medium IKIMfm dan tvIKIM serta penerbitan jurnal akademik TAFHIM,” tambah beliau.

Kerjasama strategik ini turut merangkumi pertukaran tenaga akademik, penempatan pelajar dan permohonan geran penyelidikan bersama, sebagai usaha memperkukuh lagi jaringan akademik dengan tema Islamik di Malaysia.

Mohamed Azam turut menekankan bahawa dalam dunia akademik masa kini yang kian mencabar, kerjasama seperti ini adalah keperluan yang mendesak demi menghasilkan penyelidikan yang relevan dan berimpak tinggi.

“Saya berharap jalinan antara UIAM sebagai pusat kecemerlangan pelbagai disiplin dan IKIM sebagai badan pemikir Islam nasiona akan memberikan manfaat jangka panjang kepada semua pihak,” katanya beliau.

Turut hadir Rektor UIAM Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Timbalan Pengerusi IKIM Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman; dan Timbalan Ketua Pengarah IKIM Dr. Mohd Zaidi Ismail. 

WhatsApp
Scroll to Top