Serdang, 19 Jun (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan EZ Qurban Sdn. Bhd. hari ini sekali lagi bekerjasama menganjurkan program Korban Perdana bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.
Program ini juga menjalinkan kerjasama bersama Yayasan EZ Prihatin, Al-Rajhi Bank dan Pusat Antarabangsa Putra (i-Putra) UPM.
Menurut Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah sebanyak 50 ekor lembu disumbangkan oleh EZ Qurban Sdn Bhd dan simbolik memilih i-Putra sebagai lokasi pengagihan adalah kerana i-Putra menempatkan pelajar antarabangsa dan mereka merupakan perantau justeru pengagihan ini adalah bagi menyantuni mereka yang berada di perantauan di samping agihan kepada asnaf yang telah dikenalpasti.
Beliau berharap dengan kerjasama ini merupakan titik permulaan dalam kerjasama yang lain terutamanya berkaitan keterjaminan makanan dengan melihat peluang dalam membantu negara dan dunia mengurangkan masalah berkaitan keterjaminan makanan.
Sementara itu Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata IKIM dan EZ Qurban Sdn Bhd sentiasa mengadakan kerjasama erat dan kerjasama ini sangat dihargai oleh pihak IKIM.
Mengulas lanjut Mohamed Azam berkata hubungan kerjasama antara IKIM dan IKIMfm terutamanya telah lama terjalin dengan pelbagai kerjasama hampir 20 tahun lamanya.
Beliau berkata dengan pelaksanaan program hari ini bukan sahaja menghayati pelaksanaan ibadah korban tetapi juga mengeratkan ukhuwah sesama insan dan berharap kerjasama baik sebegini akan diteruskan pada masa akan datang.
Turut hadir dalam program ini Pengasas dan Ahli Lembaga Pengarah EZ Qurban Sdn Bhd, Ustaz Azhar Dato’ Ab Shukur; Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban Sdn Bhd Ahmad Fadzlullah Hassanuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Al-Rajhi Bank, Mohd Syahrul Ishak dan Pengarah Pusat Media IKIM, Ahmad Fuad Mat Ali.