IKIM ANJUR PERSIDANGAN MEJA BULAT ISLAM, GERONTEKNOLOGI DAN JURANG DIGITAL DALAM MENDEPANI PENUAAN PENDUDUK

KUALA LUMPUR, 15 Okt (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini menganjurkan Persidangan Meja Bulat “Islam, Geronteknologi dan Jurang Digital: Mendepani Penuaan Penduduk” di Dewan Memorial Tun Hussein Onn, di sini.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, dalam ucapan alu-aluannya berkata, persidangan tersebut amat penting dalam membincangkan cabaran serta pendekatan Islam terhadap fenomena penuaan penduduk yang semakin ketara di Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa geronteknologi merupakan gabungan antara bidang gerontologi dan teknologi yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup warga emas serta menyokong kehidupan berdikari dan bermaruah.

“Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas melebihi 15 peratus daripada jumlah populasi.”

“Penduduk berusia 60 tahun ke atas kini dianggarkan seramai 4.1 juta orang atau 12 peratus daripada keseluruhan populasi negara”, katanya.

Menurut beliau, peralihan demografi yang pantas tanpa pelan yang berstruktur boleh memberi kesan besar terhadap sistem kesihatan, perlindungan sosial, tenaga kerja, dan kos penjagaan jangka panjang negara.

Mohamed Azam turut menegaskan bahawa fenomena peningkatan populasi warga tua bukanlah sesuatu yang menakutkan kerana ia merupakan fitrah kejadian manusia sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran.

Beliau menyorot kejayaan beberapa negara maju seperti Jepun, Kanada dan Finland yang menggunakan hasil kajian geronteknologi dalam menggubal dasar-dasar sokongan kepada warga emas, termasuk sistem insurans penjagaan jangka panjang serta penggunaan teknologi pintar dan robotik dalam membantu penjagaan warga emas.

“Namun dalam keterujaan memanfaatkan teknologi, kita perlu menetapkan batas kemanusiaan yang betul. Kasih sayang dan perhatian terhadap warga emas tidak boleh digantikan sepenuhnya oleh teknologi,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pendekatan Islam melalui kerangka maqāṣid al-sharī‘ah melihat teknologi sebagai alat untuk mencapai maslahah atau kebaikan masyarakat, termasuk menjaga nyawa dan akal warga emas melalui inovasi seperti sistem pengesan jatuh dan peringatan ubat automatik.

Persidangan ini turut membincangkan isu jurang digital dalam kalangan warga emas, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sokongan ibadah, serta cabaran Malaysia menuju status negara tua.

Mohamed Azam turut menegaskan bahawa IKIM telah lama membincangkan topik masyarakat menua melalui pelbagai platform seperti penyelidikan, penerbitan dan program di IKIMfm.

“Melalui persidangan ini, saya berharap ia menjadi platform percambahan minda antara pakar, pemegang taruh, pelajar dan masyarakat bagi menghasilkan input yang bernas untuk kesejahteraan warga emas,” katanya mengakhiri ucapan.

WhatsApp
Scroll to Top