IKHLAS.COM TAJA 1000 ASNAF TUNAI UMRAH

KUALA LUMPUR, 19 Mac (IKIM) – 1000 asnaf berpeluang menunaikan umrah secara tajaan bermula Julai tahun ini.

Pakej umrah ini akan ditaja oleh Ikhlas Com Travel dan Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com), anak syarikat kepada Capital A yang juga menguruskan AirAsia, MOVE dan BigPay.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin, inisiatif ini dilaksanakan bersempena dengan sambutan ulang tahun kelima Ikhlas.com.

“Sempena menyambut kemuliaan bulan Ramadan dan Nuzul Quran, kami amat berbesar hati kerana dapat menyambut ulang tahun kelima dengan penuh kesyukuran, pemberian dan pertumbuhan, selari dengan pencapaian Ikhlas.com dan kesucian hari penuh barakah ini,” katanya.

Beliau berkata tentang inisiatif ini ketika Majlis Berbuka Puasa sempena ulang tahun kelima ikhlas.com yang diadakan di Dewan Ruscus, Forest Valley Hall, Cheras semalam (18 Mac).

Program ini dijadual berlangsung sepanjang tahun baru Islam 1447 Hijrah yang akan bermula pada Julai tahun ini.

Ikhlas.com turut menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai 5 juta ringgit, termasuklah 10 ribu baucar diskaun Umrah RM 200 dan cenderamata eksklusif yang boleh dimenangi sepanjang tahun ini sehingga 31 Disember 2025.

Sebelum itu, Ikhlas.com melancarkan Qashwa untuk memacu misi membawa 1,000 jemaah asnaf menunaikan Umrah. 

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun beserta Lembaga Pengarah Capital A, Dato’ Abdul Aziz Abu Bakar dan Brigedier Jeneral (B) Fadzillah Abdullah.

Sejak diasaskan semasa pandemik pada Oktober 2020, Ikhlas.com telah menjadi platform kembara dan gaya hidup Islam milik Capital A untuk membantu umat Islam menunaikan umrah dengan mudah.

Selain bekerjasama dengan anak syarikat penerbangan AirAsia X, Ikhlas.com turut berjaya membantu umat Islam menunaikan pelbagai ibadah termasuk zakat, aqiqah, qurban serta fidyah.

Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top