Kuala Lumpur, 4 April (IKIM) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menganjurkan Majlis Ihya Ramadan bersama Media anjuran bersama PERKESO bagi menghargai para pengamal media di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) hari ini.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata penganjuran majlis ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan baik yang terjalin antara para pengamal media selain untuk menghargai jasa mereka yang selama ini menyokong segala usaha kementerian melalui liputan-liputan berita yang dihasilkan.
Dalam majlis ini juga ditayangkan video pengamal-pengamal media yang telah ditimpa kemalangan dan mendapat bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sama ada kepada pencarum mahupun waris pencarum melalui usaha oleh KESUMA.
Steven berkata pihaknya sentiasa menghargai jasa para pengamal media dan akan memastikan hak serta kebajikan pengamal media akan dibela menerusi PERKESO, pekerja akan tetap dilindungi walaupun bencana berlaku di luar waktu kerja sehingga mengundang keilatan dan menjejaskan pendapatan keluarga untuk menyara kehidupan.
Pada majlis ini IKIMfm diwakili Pengurus Berita Radio, Maslina Alias; Penerbit Rancangan Kanan, Mohd Faiz Othman dan
Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Nazatul Hazirah Azlee.
Majlis Ihya Ramadan ini diadakan setiap tahun bagi merapatkan hubungan serta menghargai jasa pengamal media yang sentiasa memberi liputan kepada KESUMA.