KUALA LUMPUR, 5 Mac 2025 (IKIM) – 70 buah masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah dipilih untuk menyediakan juadah berbuka puasa percuma setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini menerusi program Iftar Rahmah Madani.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar berkata program ini bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup masyarakat terutamanya asnaf, B40 serta golongan yang memerlukan.

“Peruntukan sebanyak RM 9.45 juta yang telah disediakan kepada 70 masjid dan surau terpilih di seluruh Wilayah Persekutuan, dijangka akan memberi manfaat kepada 21,000 penerima pada setiap hari. Sebanyak 630,000 pek makanan dijangka akan diedarkan sepanjang bulan puasa ini,” kata beliau
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Iftar Rahmah Madani 1445H/2025M di Masjid Al-Hidayah, Sentul, di sini hari ini.

Program ini merupakan inisiatif Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kolaborasi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Dalam pada itu, seramai 100 orang asnaf turut menerima sumbangan bakul makanan JAWI Food Bank berupa barang keperluan asas yang bernilai RM 100.
Program ini turut dijayakan menerusi kerjasama ahli kariah masjid dan surau bergotong-royong untuk menyediakan dan mengedarkan pek makanan kepada penerima.

Turut hadir Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP; Datuk Mohd Nizam Bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP; dan Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, Pengarah JAWI.