PUTRAJAYA, 29 November (IKIM) – Dunia hari ini perlukan lebih banyak idea kreatif serta pemikiran yang strategik sekiranya ingin keluar dari bencana iklim serta mengangkat golongan termiskin keluar dari kemelut kemiskinan.
Sultan Nazrin bertitah, pelan konkrit diperlukan bagi menjamin dunia yang membawa kemakmuran, melindungi manusia dan juga bumi ini.
“Kita sudah ada pelan tersebut. ‘The United Nations Pact for the Future’ yang baru-baru ini diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menyediakan pelan yang kritikal bagi membimbing tindakan global. Perjanjian ini dibangunkan sebagai tindak balas terhadap pelbagai krisis kemanusiaan yang berlaku,” titah Baginda.
Baginda bertitah apabila melihat kepada keadaan dunia hari ini, satu perkara jelas kelihatan iaitu kemajuan tidak lagi boleh diambil kesempatan.
Baginda berkata demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI), di sini hari ini.
“Kita kini dilanda ketidaktentuan ekonomi serta isu alam sekitar dan ketidakstabilan politik dengan ketegangan geopolitik di sesetengah tempat sehingga membawa kepada peperangan,” titah Baginda.
Baginda menambah krisis kebuluran dunia semakin meningkat selepas bertahun-tahun berlaku pengurangan, dengan kadar kekurangan zat makanan mencapai tahap yang tidak pernah dilihat selama lebih sedekad.
Di peringkat nasional dan global, jurang antara golongan terkaya dan termiskin semakin melebar. Pemindahan paksa manusia berlaku pada kadar yang mencatat rekod tertinggi, dan korban orang awam dalam peperangan menunjukkan tren peningkatan buat kali pertama dalam beberapa tahun. Pembangunan dilihat hilang momentum, terutamanya selepas pandemik Covid-19.
Sementara itu, Baginda dalam titah tersebut menambah perubahan iklim akibat perbuatan manusia membawa ancaman yang semakin besar, dengan 1.7 bilion orang terjejas oleh cuaca melampau dalam tempoh sedekad yang lalu, satu angka yang dijangka akan terus meningkat.
“Tahun ini dijangka menjadi tahun paling panas yang pernah direkodkan, dan rekod ini juga, tidak dapat dinafikan, akan segera dilepasi,”. titah Baginda.
Baginda dalam ucapan tersebut menggariskan empat kerangka utama dalam berdepan dengan suasana dunia hari ini; kesalinghubungan antara rantau di dunia; pembangunan yang memfokuskan manusiawi; penjagaan alam sekitar yang menatijahkan kesihatan dan keselamatan warga dunia; dan pembangunan yang adil dan saksama.
Titah Diraja yang mengangkat tema “Pembaharuan Idea Pembangunan” sempena penganjuran Putrajaya FOI ini turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.
Putrajaya FOI, yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 November, menyediakan pelbagai program termasuk tawaran 10,000 peluang pekerjaan kepada pengunjung selain menghimpunkan lebih 80 pemimpin, pakar pelbagai bidang, ahli akademik dan industri dalam pentas forum serta sidang selari menerusi MyIDEAS.