KAJANG, 30 Sept (IKIM) – Hospital pakar patuh syariah bercirikan wakaf pertama negara bakal dibangunkan lengkap dengan pelbagai kemudahan mesra ibadah seperti ruang solat, panduan ibadah pesakit, kemudahan tayamum, sokongan kerohanian, serta al-Quran digital di setiap wad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata projek ini bukan sahaja memperkukuh sektor kesihatan berteraskan wakaf, malah mengangkat dimensi baharu dalam mempertemukan kemajuan sains perubatan dengan nilai syariah demi membina masyarakat MADANI yang berteraskan kesejahteraan sejagat.
“Usaha membangunkan hospital pakar wakaf ini juga sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, nilai ihsan dan keberdayaan rakyat melalui pembangunan yang seimbang antara fizikal dan rohani,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf Pertama di Malaysia yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof di sini, hari ini.

“Hospital ini bukan sahaja menekankan rawatan kesihatan fizikal, malah memberi penekanan kepada kesejahteraan rohani sejajar dengan maqasid syariah dalam aspek penjagaan nyawa (hifz al-nafs),” tambah beliau.
Mohd Na’im berkata projek ini juga selari dengan aspirasi Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) yang menyasarkan wakaf menyumbang 10 peratus kepada sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030.
Projek pembangunan bersama antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Highfield Healthcare Sdn. Bhd ini sebagai projek rintis model hospital pakar wakaf dengan hasrat agar setiap negeri di Malaysia kelak memiliki hospital pakar wakaf dengan sokongan sektor korporat, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Kementerian Kesihatan, institusi perbankan Islam dan para pemegang taruh lain.
Dalam pada itu YWM merancang memperluaskan model hospital pakar ini ke seluruh negara termasuk pusat dialisis dan pusat rehabilitasi berasaskan wakaf pada masa hadapan. Usaha ini diharap dapat memperkukuh ekosistem wakaf sekali gus meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.