KUALA LUMPUR, 4 Dis (IKIM) – Hasil kajian laporan literasi kewangan Islam disifatkan sebagai suatu sumbangan penting kepada bidang pendidikan kewangan Islam, dan diyakini akan menjadi rujukan utama kepada pembuat dasar, pengamal industri kewangan, penyelidik serta masyarakat umum.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli bin Hassan berkata laporan ini menjadi titik permulaan kepada gerakan yang lebih besar dalam usaha meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat berteraskan nilai syariah.

Beliau berkata demikian pada pelancaran laporan “Literasi Kewangan Islam: Maqasid Menuntun Arah, Ilmu Menyokong Falah”, hasil kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman.
Beliau dalam pada itu memuji usaha AKPK, IKIM dan UKM menjalankan kajian literasi kewangan Islam yang disifatkan amat bertepatan kerana memberikan gambaran sebenar tahap kefahaman masyarakat, sekali gus menyokong pembangunan modul pembelajaran kewangan Islam yang bersifat inklusif, etika dan merentas agama.

“Sinergi antara agensi kerajaan, institusi Islam dan universiti awam ini menjadi contoh kerjasama strategik yang berjaya menyatukan kekuatan ilmu, dasar dan pengalaman lapangan,” kata beliau.
Usaha memperkasa literasi kewangan itu turut diperkukuh melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Open University Malaysia (OUM), yang bakal menggerakkan pembangunan modul literasi kewangan Islam berskala kebangsaan.
Modul tersebut, menurut beliau, akan dirangka secara komprehensif, mudah difahami dan relevan dengan keperluan masyarakat moden, membuktikan bahawa memperkasa masyarakat dari sudut ilmu dan nilai menuntut kerjasama erat pelbagai institusi.
Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil ketika ditemui media menjelaskan bahawa kerjasama antara IKIM, AKPK, UKM dan rakan terbaharu, OUM ini telah berjaya menghasilkan laporan literasi yang meliputi satu negara, berbeza dengan kajian terdahulu yang hanya melibatkan kawasan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan.

“Walaupun kawasan liputan lebih luas, keputusan yang kita dapati hampir sama dengan dapatan tahun lalu. Ini menunjukkan isu dan cabaran literasi kewangan Islam ini konsisten,” jelas beliau.
Menurutnya, dapatan itu menjadi asas untuk mengenal pasti kekurangan kefahaman dalam kalangan umat Islam, seterusnya merangka strategi pendidikan kewangan yang lebih berkesan.
Beliau turut menegaskan bahawa hasil penyelidikan tidak hanya dibukukan, tetapi akan disampaikan melalui pelbagai saluran antaranya IKIMfm, media baharu serta program perkongsian bersama penyelidik.
“Kita akan sampaikan hasil ini kepada pihak-pihak atasan untuk diteliti. Apa yang kita boleh pelajari dan bagaimana kita boleh mendidik masyarakat, terutama umat Islam,” ujar beliau.
Turut berlangsung pada sesi tersebut, majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara IKIM dan AKPK yang telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, manakala bagi pihak AKPK diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, En. Azzadin Ngah Tasir.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.




