Hari Solidariti Palestin: Mengingatkan Dunia Terhadap Penjajahan Lama dan Ancaman Penjajahan Baharu

Setiap tahun, pada 29 November, dunia memperingati Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin, satu detik penting yang mengingatkan kita bahawa tragedi yang menimpa Palestin bukan episod terpencil, tetapi rentetan penindasan berterusan selama lebih tujuh dekad. Tarikh ini signifikan kerana pada hari yang sama pada tahun 1947, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi 181, pelan kontroversi yang membahagikan bumi Palestin kepada tiga wilayah: 44 peratus untuk penduduk Arab Palestin, 55 peratus untuk negara Yahudi, dan 1 peratus sebagai zon antarabangsa di Baitul Maqdis.

Pelan tersebut ditolak rakyat Palestin dan negara-negara Arab, namun disambut baik gerakan Zionis yang melihatnya sebagai peluang mengabsahkan projek kolonial mereka. Kegagalan ini bukan bersifat teknikal semata-mata; ia lahir daripada keputusan kolonial British seperti Deklarasi Balfour 1917 serta cadangan Peel Commission 1937 yang meminggirkan hak rakyat Palestin. Malah, UNSCOP — jawatankuasa PBB yang ditubuhkan untuk menilai masa depan Palestin — hanya beroperasi tiga bulan dan turut dipengaruhi lobi Zionis, membuka jalan kepada tragedi Nakbah 1948 yang mengusir lebih 750,000 rakyat Palestin dan menghancurkan ratusan kampung dari Haifa hingga Beersheba.

Tragedi Berulang Secara “Real Time”

Memasuki tahun 2026, Hari Solidariti Palestin diraikan dalam suasana paling gelap sejak Nakbah. Penindasan kini berlaku secara langsung di hadapan mata dunia — melalui telefon dan media sosial — menjadikan kekejaman dipaparkan secara “real time”, sekali gus menumpulkan sensitiviti manusia.

Dua tahun selepas 7 Oktober 2023, Gaza terus menjadi medan penderitaan tanpa penghujung. Lebih 160,000 rakyatnya terbunuh atau cedera, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Ribuan masih terperangkap di bawah runtuhan. Kebuluran pula meragut nyawa anak kecil dan warga emas, menjadikan Gaza bak tanah perkuburan terbuka yang memaparkan kegagalan besar sistem dunia moden.

Sungguh memilukan apabila komuniti antarabangsa yang seharusnya menjadi benteng keadilan gagal menghentikan bencana kemanusiaan ini — malah sering menjadi saksi bisu kepada kehancuran sebuah bangsa.

Gelombang Solidariti Global Semakin Menguat

Walaupun sistem antarabangsa gagal bertindak tegas, rakyat dunia bangkit dengan penuh keberanian. Demonstrasi besar-besaran memenuhi jalan raya di seluruh dunia; kampus universiti memimpin boikot akademik; graduan mengangkat solidariti dalam majlis konvokesyen. Beberapa kerajaan turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

Sebanyak 137 negara anggota PBB kini mengiktiraf Negara Palestin, manakala Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant atas jenayah genosid.

Gelombang solidariti ini membuktikan bahawa Palestin telah menjadi barometer moral dunia mengukur sama ada manusia masih mempunyai keberanian untuk menegakkan kebenaran.

Namun, di sebalik semua ini, wujud juga mereka yang semakin hilang rasa. Ketidakpekaan terhadap penderitaan Palestin adalah tanda bahaya bahawa jiwa manusia mula mati tanpa sedar.

Ancaman Penjajahan Versi Baharu Melalui “Pelan Damai Gaza”

Dalam suasana yang muram ini, timbul pula satu cadangan bernama “Pelan Damai Gaza” yang diumumkan Donald Trump. Namun di sebalik gimiknya, pelan ini mengulangi kesilapan sejarah: Palestin diletakkan kembali di bawah kawalan asing, sementara penjajah terus dibenarkan mengekalkan kekuatan bersenjata.

Pelan tersebut mencadangkan:

• Gaza ditadbir jawatankuasa teknokrat apolitik di bawah pengawasan antarabangsa,

• Trump menjadi ketua “Board of Peace”,

• Hamas diminta meletakkan senjata tanpa jaminan Israel berundur,

• Israel mengekalkan perimeter keselamatan,

• Pembentukan negara Palestin disebut secara kabur tanpa komitmen jelas.

Model sebegini, menurut kritikan ramai sarjana, bukan pelan damai tetapi percubaan mengurus penjajahan dengan wajah diplomatik baharu. Ia mengulangi peranan berat sebelah UNSCOP pada 1947 dan boleh membuka jalan kepada bentuk penjajahan moden yang lebih halus tetapi tetap menindas.

Malaysia melalui Wisma Putra ditegaskan perlu menolak pendekatan ini dan kekal berpendirian bahawa damai hanya wujud apabila Palestin bebas menentukan masa depannya sendiri.

Seruan Ilan Pappé dan Hikmah Gandhi

Ahli sejarah terkenal, Ilan Pappé, dalam buku Israel on the Brink menegaskan bahawa penyelesaian dua negara tidak lagi memadai selagi struktur penjajahan dan ketidakseimbangan kuasa tidak dihapuskan. Beliau mengusulkan konsep “Decolonization and Coexistence” kewujudan bersama yang lahir selepas penjajahan benar-benar berakhir.

Pandangan ini mengingatkan kepada pesanan Mahatma Gandhi dalam suratnya kepada sarjana Yahudi Martin Buber pada 1930-an, apabila beliau menegur projek kolonial Zionis:

“If I would have been convinced that the Jews of Europe want to live alongside the Arabs of Palestine, I would be the greatest supporter of Zionism. My impression is that you want to live instead of the Palestinians…”

Kata-kata itu meramalkan apa yang berlaku hari ini.

Solidariti Adalah Tuntutan Moral

Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin terus relevan selagi:

• Gaza terus dibedil,

• Tebing Barat terus dirampas,

• Pelarian Palestin dilarang pulang,

• Dan pelan-pelan damai baharu cuba menghalalkan penindasan lama.

ABIM menegaskan bahawa solidariti terhadap Palestin bukan pilihan politik, tetapi kewajipan moral. Palestin bukan mangsa konflik dua pihak setara, tetapi mangsa penjajahan yang berterusan.

Selagi dunia belum berani menegakkan keadilan sebenar, selagi struktur penjajahan tidak dihapuskan sepenuhnya, dan selagi hak Palestin untuk kembali ke tanah air dinafikan, selagi itulah perjuangan ini harus diteruskan.

ABIM menegaskan:

Keadilan tidak boleh dirunding dengan penjajah, dan pentadbiran teknokrat tidak boleh menggantikan kemerdekaan. Palestin hanya akan merdeka apabila rakyatnya bebas menentukan masa depan mereka sendiri. Inilah makna sebenar solidariti.

Artikel ini disunting daripada perkongsian Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin 

WhatsApp
Scroll to Top