HAMKA HIMPUN LEBIH 1,500 ASATIZAH MUDA PERKUKUH KEPIMPINAN DAKWAH GENERASI BAHARU

KUALA LUMPUR, 24 Feb (IKIM) — Program Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) 2026 berjaya menghimpunkan lebih 1,500 asatizah muda dari seluruh negara di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan.

Turut hadir Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Penyertaan melibatkan Daie MADANI, guru KAFA, guru takmir serta mahasiswa pengajian Islam dalam dan luar negara termasuk dari Jordan, Mesir, Arab Saudi, Turkiye dan Maghribi secara dalam talian.

Dalam ucapannya, Dr. Zulkifli menegaskan keperluan memperkukuh peranan asatizah dalam mendepani cabaran era digital agar pemikiran ekstrem dan menyimpang tidak mendominasi kefahaman Islam dalam masyarakat.

Beliau berkata, asatizah perlu menawarkan model Islam yang berkemajuan, damai, wasati dan inklusif, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Menurutnya, sekiranya asas kefahaman Islam tidak diperkukuh dalam media sosial dan ruang awam, ia boleh membuka ruang kepada perpecahan serta ketidakstabilan negara.

HAMKA turut menjadi platform memperkukuh kompetensi asatizah merangkumi penguasaan ilmu turath, kemahiran komunikasi, literasi teknologi serta kefahaman realiti sosial masyarakat.

Program itu juga menyaksikan pelancaran inisiatif Daie MADANI sebagai jaringan nasional asatizah muda bagi memperkukuh gerakan dakwah yang kolektif dan berautoriti demi kesejahteraan ummah dan kestabilan sosial negara.

0 messages remaining.

WhatsApp
Scroll to Top