HALAQAH MUBALIGH ASEAN MEDAN PERKUKUH UKHUWAH DAN STRATEGI DAKWAH

NILAI, 13 Ogos (IKIM) – Halaqah Mubaligh ASEAN yang menghimpunkan peserta dari pelbagai negara antaranya Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Tanzania, Zanzibar dan China menjadi platform penting untuk memperkukuh ukhuwah Islamiah, menyusun strategi dakwah yang lebih efektif dan membina masyarakat MADANI merentas sempadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, berkata perhimpunan itu diadakan bagi membina kekuatan yang teguh berpaksikan Kalimah Tayyibah, syahadah yang menyatukan umat Islam di bawah satu payung.

“Di bawah payung Islam yang satu ini, kita bersama-sama membangunkan struktur masyarakat, pendidikan, kekeluargaan, ekonomi, malah hingga menyusun hal-hal kenegaraan dan hubungan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Halaqah Mubaligh ASEAN 2.0 di sini, malam tadi. 

Beliau menyeru para peserta untuk memanfaatkan peluang tiga hari perbincangan bagi membahaskan pelbagai isu berkaitan kepentingan umat Islam serta menghasilkan inisiatif yang memberi manfaat berterusan walaupun setelah kembali ke negara masing-masing.

Mohd Na’im berkata halaqah ini merupakan medan untuk mencari kefahaman agama yang benar, berkongsi pandangan serta memperkukuh ilmu dakwah, selain mengeratkan hubungan silaturrahim antara mubaligh ASEAN.

Beliau menambah program ini turut memberi fokus kepada bidang pendidikan, keusahawanan, budaya, komunikasi, dan bahasa, serta usaha menyusun semula sistem sosial ummah secara lebih teratur dan berdaya tahan.

“Wawasan kita melangkaui sempadan untuk menggerakkan aktiviti dakwah dan membina masyarakat MADANI di seluruh ASEAN dan negara jiran, dengan memperkukuh iman keluarga dan komuniti Muslim,” katanya.

Halaqah Mubaligh ASEAN yang dianjurkan buat pertama kali pada 28 Ogos 2019 di Hotel Plaza Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Foto: FB Dato’ Setia Dr. Naim

WhatsApp
Scroll to Top