Hak Yang Perlu Ditunaikan Pemuda Muslim

USIA muda adalah masa yang paling penting di dalam perjalanan hidup manusia sehingga Rasulullah SAW sendiri mengingatkan umat manusia agar merebut lima masa sebelum tibanya lima masa dan di antara salah satu masa itu ialah merebut peluang sewaktu muda sebelum tibanya waktu tua. Ini kerana pada usia mudalah manusia mempunyai beberapa tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan seharusnya para ibu-bapa perlu memberi pemahaman yang jelas kepada anak-anak berkenaan tanggungjawab yang perlu mereka pikul. Di dalam Islam terdapat hak-hak yang perlu ditunaikan oleh para pemuda dan pemudi, di antara tanggungjawab tersebut ialah peranan terhadap kedua ibu-bapa mereka.

Ibu-bapa yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia mempunyai hak yang harus dipenuhi oleh anak-anak kerana sesungguhnya redha Allah adalah setelah mendapat keredhaan daripada ibu-bapa mereka. Namun tanggungjawab ini harus dipupuk oleh ibu-bapa sendiri agar tidak berlaku sebarang penyelesalan setelah mereka meniti usia tua kelak. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-Asr, Rasulullah SAW menyebut, “Allah itu akan redha pada kamu berdasarkan redha ibu dan bapa kepada kamu. Kemurkaan Allah pula berdasarkan kemurkaan daripada ayah dan ibumu.” Besarnya tanggungjawab terhadap ibu-bapa sehinggakan kewajipan mentaati mereka melebihi daripada tuntutan untuk jihad di jalan Allah SWT kerana sesungguhnya syurga itu terletak dibawah telapak kaki ibu dan bapa mereka.

Oleh itu sekiranya ibu dan bapa memerlukan perhatian ketika usia tua mereka, maka hak itu perlu dipenuhi dan menjadi keutamaan kepada anak-anaknya. Malah hak itu juga perlu ditunaikan walaupun setelah kedua ibu-bapa mereka meninggal dunia. Allah mengangkat darjat seseorang jenazah, walaupun diazab ketika berada di Alam Barzakh namun diringankan Allah azab itu, ada juga yang ditambah nikmat kepada mereka. Setelah ditanya oleh penghuni kubur berkenaan kenikmatan yang diterimanya setiap hari, para malaikat menjawab bahawa anak-anak mereka telah memohon keampunan bagi pihak kedua ibu-bapanya. Sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati, Allah tidak pernah menolak doa daripada anak-anak yang salih terhadap ibu-bapanya termasuklah amalan dan setiap perbuatan baik yang diringi niat kebaikan itu kepada arwah-arwah yang telah meninggal dunia lalu meningkatkan darjat dan kedudukan ibu dan bapanya di sisi Allah SWT.

Selain itu para pemuda perlu menunaikan hak kedua ibu-bapanya dengan membantu melaksanakan janji-janji mereka untuk melakukan amalan kebaikan, misalnya untuk bersedekah dan menyumbang pembinaan pusat pendidikan Islam dan sebagainya. Muliakanlah sahabat-sahabat kepada ibu-bapa walaupun hanya dengan bertanyakan khabar kerana sesungguhnya perlakuan anak-anak yang salih itu akan ditunjukkan oleh Allah kepada ibu-bapa mereka yang sedang berada di alam kubur.  Sambung silaturrahim yang tidak sempat dijalin oleh kedua ibu-bapa ketika hidup mereka walaupun dahulunya mereka bermusuhan di antara satu sama lain kerana masalah keluarga dan sebagainya. Mohonlah kemaafan bagi pihak ibu-bapa semoga persengketaan dan dosa itu tidak berlarutan serta berpanjangan sehingga generasi seterusnya.

Islam mendidik anak-anak agar mendahului ibunya, seperti pesanan Rasulullah SAW kepada seorang pemuda yang datang kepadanya dan bertanya siapakah yang paling berhak untuk dia melakukan kebaikan. Baginda menjawab, “Kepada ibumu”. Lalu pemuda tersebut bertanya lagi, siapakah yang perlu dibuat kebaikan selepas itu dan dijawab kepada Rasulullah, “Kepada ibumu”, sehinggalah buat kali ketiga persoalan yang sama diajukan oleh pemuda itu kepada Baginda. Selepas diajukan soalan tersebut buat kali keempat itu barulah dijawab Baginda bahawa pemuda itu perlu melakukan kebaikan kepada ayahnya. Besarnya kemuliaan seorang ibu kepada anak-anaknya sehinggakan tidak terbalas jasanya menanggung kepayahan ketika mengandungkan anaknya, merasa sakit ketika melahirkan, menyusukan anaknya, tidak cukup tidur kerana menjaga anak-anaknya serta mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka. Ini membuktikan betapa besarnya tanggunjawab para pemuda dan pemudi untuk menunaikan hak ibu mereka.

Perasaan belas kasihan yang dikurniakan Allah bagi seorang ibu melebihi daripada seorang bapa. Di dalam kitab Tarbiyatul Aulad yang menceritakan Abu Layth al-Samarqandi telah memberitakan daripada Anas RA yang mengisahkan betapa besarnya nilai seorang ibu di dalam peristiwa al-Qamah. Al-Qamah tidak mampu mengucapkan syahadah walaupun ketika itu dia sedang sakit dan menghampiri kematian. Berita itu disampaikan kepada Rasulullah SAW, lalu ditanya sama ada ibu dan bapanya masih ada. Ibu al-Qamah masih ada tetapi sudah terlalu tua, diminta oleh Baginda untuk menziarahi anaknya yang sedang nazak. Ibunya menjelaskan bahawa anaknya itu seorang mukmin yang baik, suka bersedekah, melakukan banyak amal ibadat. Namun apabila ditanya Baginda tentang perasaan ibunya kepada al-Qamah, dia berkecil hati dengan perlakuan anaknya yang melebihkan isterinya berbanding ibunya. Kemudian Rasulullah berkata bahawa kemurkaan ibunya itu telah menahan lidah al-Qamah daripada mengucapkan syahadah.

Rasulullah meminta Bilal untuk mengumpulkan kayu untuk membakar tubuh al-Qamah, lalu ibunya merayu kepada Baginda supaya tidak melakukan sedemikian kerana dia tidak sanggup melihat penderitaan yang dihadapi anak kesayangannya itu. Rasulullah SAW berkata kepada ibu al-Qamah sekiranya dia mahu anaknya diampunkan dosanya oleh Allah, maka dia harus meredhai anaknya itu kerana tidak berguna segala amal ibadahnya sekiranya dimurkai ibunya sendiri. Setelah itu ibunya memohon kepada Allah bahawa dia telah redha kepada anaknya dan akhirnya al-Qamah menemui ajalnya setelah mengucapkan syahadah. Setelah jenazah al-Qamah selamat disempurnakan, Rasulullah mengingatkan bahawa mereka yang melebihkan isteri berbanding ibu mereka sendiri, sehingga terabai haknya, maka mereka akan dilaknati dan taubat mereka tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Januari 2018
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top