FORUM BICARA AD-DIN IKIMfm PERKUKUH HUBUNGAN ILMUWAN MALAYSIA-INDONESIA

JAKARTA, 18 Jun (IKIM)  – Penganjuran program ikonik IKIMfm, Forum Bicara Ad-Din di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia bukti kerjasama dan hubungan erat antara ilmuwan Malaysia-Indonesia. 

Program kerjasama strategi antara Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ini menghimpunkan 15 organisasi agama di Indonesia termasuk organisasi bukan Islam dengan mengupas tajuk “Membangun Negara Madani: Fiqh Nusantara dan Inspirasi Piagam Madinah”. 

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Tuan Yang Terutama Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata program ini dilihat sangat positif dalam rangka mempererat hubungan luar negeri antara Malaysia dan Indonesia.

“Dalam konteks masyarakat Malaysia, program ini juga menjadi kesempatan untuk mempelajari keunikan dan perbezaan antara Malaysia dan Indonesia. Sekalipun sering dilihat serupa, kedua-dua negara mempunyai identiti dan perbezaan masing-masing yang dapat dipelajari dan diadaptasi,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Forum Bicara Ad-Din, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata Forum Bicara Ad-Din ini membicarakan tentang pendekatan agama, bagaimana kita ingin membawa aspek sederhana dalam kehidupan yang aman dan damai dengan konsep Fiqh Ta’ayush (hidup bersama).

“Ada perancangan untuk mengadakan lagi kerjasama sebegini selepas ini,” ujar beliau.

Beliau ketika dalam sesi forum tersebut turut berkongsi betapa pentingnya menjadikan Piagam Madinah sebagai inspirasi untuk membangun kehidupan masyarakat yang rukun dan damai di tengah wujudnya perbezaan.

Mohamed Azam turut menyatakan penghargaan terhadap sumbangan tokoh-tokoh intelektual dari Indonesia yang memberi impak besar di Malaysia seperti Buya Hamka dan Allahyarham Mohammad Natsir. 

“Ada cadangan bagaimana ingin mengumpulkan cendekiawan tersohor Malaysia dan Indonesia untuk bicarakan gagasan yang sama budaya, agama dan kerukunannya,” tambah beliau.

Selain Mohamed Azam, forum tersebut turut dibicarakan oleh Wakil Ketua Umum Pengurus Besar Nahdatul Ulama, KH. Zulfa Mustofa dan Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bidang Hubungan Luar Negeri dan Kerjasama Internasional, Sudarnoto Abdul Hakim.

Antara organisasi agama yang hadir MUI, Muhammadiyah, Nahdatul Ulama, Parisada Hindu Dharma Indonesia, Keuskupan Agung Jakarta, Sangha Theravada Indonesia, dan Majelis Tinggi Agama Khonghucu.

WhatsApp
Scroll to Top