Formula menghindari sedih

Setiap manusia di muka bumi ini tidak terlepas dengan perasaan sedih oleh kerana perasaan itu adalah kurniaan dari Allah SWT dan lumrah kehidupan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Dalam kehidupan ini, tidak selamanya kita akan bahagia, akan terselit suka duka yang memberikan impak kesedihan dalam putaran roda kehidupan. Setiap individu mempunyai asbab tersendiri mengapa mereka tersentuh dengan sesuatu perkara itu dan menjentik hati mereka dengan perasaan sedih.

Menerusi segmen Tarbiah di IKIMfm yang bersiaran dalam slot Inspirasi Ilmu, jam 10.00 pagi, Ustazah Muzayyanah Abdullah berkongsi mengenai 6 formula bagi menghindari sedih menurut Islam. 

  1. Percayalah Sepenuhnya Kepada Allah SWT

Jika ingin menghindari sedih, sebagai makhluk yang lemah, setiap manusia haruslah percaya sepenuhnya terhadap takdir dan ketentuan yang diberikan oleh Allah SWT. 

Adakala kita akan merasakan kesedihan daripada apa yang diperkatakan oleh orang sekeliling kita, terutamanya ketika menyambut Aidilfitri dimana sepatutnya hari tersebut perlu disambut dengan kegembiraan, akan tetapi pertanyaan yang diajukan oleh pihak yang tidak memahami erti ‘sensitiviti’ menyebabkan seseorang itu terkesan dan tawar hati untuk menyambut perayaan bersama keluarga tersayang di kampung halaman.

Setiap makhluk diciptakan dengan keperibadian yang berbeza, mungkin bagi mereka yang mengajukan pertanyaan tersebut beranggapan bahawa ia adalah perkara yang spontan dan merasakan ia tidak akan mengguris perasaan mana-mana pihak, tetapi kepada individu yang dipersoalkan itu, mereka mungkin mengambil serius tentangnya dan mula berfikir panjang hingga menyebabkan kesedihan, dan tidak percaya dengan setiap rezeki atau takdir yang diberikan oleh Allah SWT.

Oleh itu, jangan hiraukan apa yang masyarakat sekitar katakan dan teruskan keyakinan serta berikan kepercayaan sepenuhnya dengan bersandar kepada kuasa Allah SWT dalam menentukan setiap ketentuan dan takdir yang akan diberikan ke atas diri setiap hamba-Nya.

2. Sedar Akan Semua Yang Berlaku Atas Kehendak-Nya

    Seorang Muslim perlu mempercayai segala yang berlaku telah tertulis di Lauhul Mahfudz dan menerimanya dengan redha kerana takdir yang dituliskan oleh Allah SWT pasti akan berlaku. Sebagai contoh, jika kita menghadapi kemalangan dan masih diberikan peluang untuk hidup, itu pasti adalah hikmah mengapa Allah SWT menyelamatkan kita dari kecelakaan tersebut. Setiap musibah yang berlaku pada diri kita pasti ada hikmah disebaliknya dan Allah SWT tahu bahawa hamba-Nya itu mampu menghadapi ujian yang diberikan dengan kuat.

    Jika kita sedar akan dugaan yang diberikan itu adalah ujian untuk melihat ketaatan kita kepada Allah, sebagai makhluk-Nya yang lemah, kita tidak akan bersedihan secara melampau kerana sedar kuasa Allah SWT yang maha mengetahui segala sesuatu ke atas makhluk-Nya.

    3. Teruskan Senyum Dalam Melalui Rintangan Cabaran

    Walaupun kita ditimpa masalah sehingga menyebabkan kita ingin menangis oleh kerana tidak mampu menanggung musibah tersebut, ingatlah supaya sentiasa senyum dan bersabar mengharungi ujian yang diberikan kepada kita. Jangan biarkan kemarahan dan kesedihan menguasai diri. Oleh itu, sebagai manusia yang lemah, kita perlu teruskan kehidupan ini dengan keceriaan, bukan kekecewaan kerana setiap yang berlaku itu adalah dengan kekuasaan Allah dan kita sebagai makhluk-Nya tidak akan terlepas daripadanya.

    4. Melakukan Kebaikan Dan Perbaiki Diri ke Arah Lebih Baik

    Dalam kehidupan ini tidak perlu berlebihan dalam bersedih oleh kerana perasaan ini akan mendekatkan diri kita dengan iblis. Mengapa kita perlu berlebihan dalam bersedih jika seseorang itu mempunyai iman dan yakin dengan takdir ketentuan tuhan. Beringatlah bahawa terdapat ribuan umat manusia yang menghadapi dugaan yang lebih teruk berbanding diri kita dan kini masih berjuang untuk meneruskan hidup pada keesokan harinya.

    Demikian itu, teruskanlah membuat kebaikan dengan membantu dan menyantuni mereka yang dalam kesusahan kerana dari mereka kita boleh mempelajari apa itu kesabaran yang sebenar, dan teruskan beribadat kepada Allah serta meminta kekuatan daripada-Nya kerana akui diri ini yang lemah.

    5. Sabar Adalah Senjata Yang Terbaik Bagi Mereka Yang Dalam Kesedihan

    Menurut Ustazah Muzayyanah, sabar itu adalah kunci ketenangan hidup bagi orang-orang beriman.  Allah SWT berfirman supaya hamba-Nya tidak bersikap lemah dan bersedih hati dengan musibah yang menimpa.

    Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 139 yang bermaksud :  “Janganlah kau bersikap lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman.” 

    Jelaslah bahawa Allah SWT tidak akan membebani hamba-Nya dengan ujian yang tidak boleh dipikul oleh mereka, dan hanya mereka yang beriman sahaja akan redha menerima rintangan yang diberikan.

    6. Segala Kesulitan Pasti Ada Jalan Keluar

    Jika Allah SWT mengizinkan sesuatu itu untuk berlaku maka pastinya ia akan berlaku, akan tetapi segala kesulitan yang diberikan oleh Allah bukan untuk melihat hamba-Nya putus harap kepada-Nya sehingga terduduk, tetapi dalam masa yang sama Allah SWT juga membuka ruang jalan keluar bagi hamba-Nya yang berada dalam kesesatan. Allah membantu hamba-Nya yang dalam kesedihan bangkit dan terus bersandar kepada-Nya, diatas segala kesedihan yang dilalui. Oleh itu, jangan pernah putus harapan kepada Allah dan yakin kepada-Nya kerana Allah SWT tidak akan memungkiri janji kepada hamba-Nya yang bertaqwa.

    Artikel ini telah ditulis oleh Nurulasyiqin binti Azman

    Scroll to Top