FELOW UTAMA IKIM TERIMA ANUGERAH IMAM AL-GAZALI HARI ULAMA NEGERI SEMBILAN

PORT DICKSON, 5 Julai (IKIM) – Felow Utama, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd Farid Mohd Shahran menerima Anugerah Imam Al-Ghazali pada Majlis Hari Ulama Negeri Sembilan sempena Sambutan Maal Hijrah 1447H. 

Anugerah disampaikan oleh Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Haji Alias di Masjid Kariah Teluk Kemang, di sini hari ini. 

Mohd Farid yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan turut menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Membangun Ummah Madani’ pada majlis tersebut. 

Selain Mohd Farid, turut menerima penghargaan, Pengetua Pondok Inabah Negeri Sembilan dan Pengurus Pusat Pendidikan Al-Irshad, Ustaz Shaifudin Maulup bagi Anugerah Syeikh Haji Mohd Said (Tokoh Sufi). 

Sementara itu, Datuk Seri Jalaluddin berkata ulama ibarat pelita yang menerangi alam di saat gelapnya kejahilan. Di saat umat keliru, ulama memandu kembali ke jalan yang benar. Tanpa ulama, umat akan hilang arah, longlai dalam arus dunia yang menipu daya.

Beliau berkata demikian mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan ketika merasmikan Hari Ulama Negeri Sembilan hari ini. 

“Hari ini kita raikan ulama Negeri Sembilan bukan sekadar untuk mengenang jasa mereka, tetapi untuk menghidupkan kembali semangat ilmu dan dakwah dalam diri kita”, ujar beliau. 

Katanya Ulama bukan sekadar orang yang banyak ilmu, tetapi yang mengamalkan ilmu dan menyampaikannya dengan hikmah dan juga hidup di dalam takwa. 

“Apabila kita berbicara soal pembangunan negeri, lazimnya kita membayangkan aspek fizikal seperti infrastruktur, ekonomi dan teknologi. Namun, pembangunan yang sebenar tidak hanya tertumpu kepada aspek zahir semata-mata, tetapi haruslah bersifat seimbang dan menyeluruh melibatkan pembangunan insan, akhlak dan nilai manusiawi,” tambah beliau. 

Beliau berkata ulama berperanan sebagai penasihat kepada pemerintah dan berupaya memberikan pandangan berlandaskan syariat Islam di dalam pembentukan dasarr-dasar kerajaan terutama yang menyentuh soal agama, pendidikan, ekonomi Islam dan kebajikan rakyat. 

Pandangan yang diberikan ulama menjadi semak dan imbang dalam setiap keputusan yang diambil oleh pihak yang berkuasa, sama ada di peringkat negara, negeri dan daerah. 

Turut hadir Mufti Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Faudzinaim Badaruddin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Tuan Mohd Asri Abdullah. 

Hari Ulama Negeri Sembilan yang masuk penganjuran kali ketiga ini sebagai tanda pengiktirafan kepada para ulama di negeri tersebut. 

Foto: Fathulmungin Mohd Yusof

WhatsApp
Scroll to Top