MERSING, 11 Sept (IKIM) – Sebanyak 20 pengamal media dari pelbagai agensi di ibu negara berpeluang merasai sendiri pengalaman percutian di Felda Residence Tanjung Leman (FRTL) menerusi program lawatan media anjuran Felda Investment Corporation (FIC) Hospitality Sdn Bhd.
Ketua Komunikasi Pemasaran Bersepadu FIC Hospitality, W. Nurrul Sarah W. Rusdi berkata program itu diadakan bagi memperkenalkan produk pelancongan yang ditawarkan resort berkenaan, termasuk penginapan, kemudahan serta aktiviti yang mampu memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
“Lawatan ini bertujuan memberi peluang kepada rakan media merasai sendiri perjalanan ke sini, aktiviti yang disediakan serta perkhidmatan yang kami tawarkan, sekali gus membolehkan mereka berkongsi pengalaman tersebut dengan orang ramai,” katanya.

Antara tarikan utama FRTL ialah keindahan pulau-pulau berdekatan seperti Pulau Kukus dan Pulau Tinggi yang digelar sebagai ‘permata tersembunyi’. Lokasi itu sesuai untuk aktiviti snorkeling, mendaki, sukan air serta program pengukuhan berpasukan, dengan akses bot hanya 15 hingga 20 minit dari resort.
Menurut Nurrul Sarah, masih ramai yang menyangka FRTL hanya dikhususkan untuk warga Felda, sedangkan resort tersebut sebenarnya terbuka kepada semua pelancong.
Sementara itu, Pengurus FRTL, Azlinita Tumin menjelaskan resort itu pada awalnya berfungsi sebagai pusat latihan Felda sejak 2010 sebelum dikembangkan menjadi destinasi percutian popular untuk keluarga, kumpulan korporat dan penganjuran pelbagai acara.

“Permintaan terhadap penganjuran hari keluarga, mesyuarat, acara sekolah dan program rekreasi semakin meningkat. Justeru, kami memperluas tawaran pakej serta kemudahan agar FRTL menjadi pilihan utama pelancong,” katanya.
Kini, FRTL menyediakan 91 bilik dengan kapasiti 336 katil serta pelbagai kemudahan termasuk kafe, dewan, bilik karaoke, pawagam mini dan fasiliti aktiviti berkumpulan, menjadikannya destinasi yang sesuai untuk percutian santai mahupun acara berskala besar.