Fahaman Melampau "Salafi Palsu"

SEBELUM ini kita telah berbicara tentang wujudnya golongan pelampau agama yang pelbagai ragam. Ada pelampau agama dari pihak kiri dan ada pelampau agama dari pihak kanan. Untuk episod kali ini, Prof. Madya Dr Khalif Muammar A.Harris dalam rancangan Tarbiyyah di radio IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi berbicara tentang kelompok pelampau yang digelar “Pseudo-Salafi”. Pseudo-Salafi bermaksud Salafi Palsu atau Salafi Jadian bagi membezakan daripada kelompok Salafi sebenar yang wujud di zaman awal Islam. Perbezaan yang ketara, mengikut Dr. Khalif antara Salafi di awal Islam dan pseudo-Salafi moden hari ini ialah Salafi awal Islam menerima ajaran tasawuf sebagai sebahagian daripada ajaran Islam, namun pseudo-Salafi menolak dan menentangnya habis-habisan.

Kelompok psudo-Salafi ini muncul seawal kurun ke-18 Masehi apabila pada ketika itu wujudnya amalan-amalan syirik, khurafat dan bidaah yang begitu berleluasa di kalangan masyarakat akibat daripada pengaruh luar termasuk juga pengaruh daripada ajaran Syiah. Sementara pendekatan manhaj Ahlul Sunnah wal Jamaah ialah menentang apa jua amalan-amalan yang syirik dan khurafat, namun pendekatan yang para ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah ambil ialah melihat kewujudan itu adalah kerana kejahilan masyarakat dan masyarakat perlu dididik dan dibimbing agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh kelompok pelampau pseudo-Salafi, kononnya atas nama demi menjaga ketulenan ajaran Islam, masyarakat awam yang terlibat dalam perkara syirik, dan khurafat ini dihukum sehingga ada yang dibunuh dengan kejam.

Begitu juga dalam persoalan memahami ayat-ayat mutashabihat dalam al-Qur’an yang melibatkan sifat-sifat Allah, di mana kelompok pelampau pseudo-Salafi keras menolak takwilan yang dibuat oleh para ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah dari aliran Asha’irah dan Maturidiyah. Bagi mereka ayat-ayat itu mesti diterima secara zahir tidak boleh ditakwilkan kerana itu bidaah. Begitu juga melarang konsep taqlid kepada salah satu daripada Mazhab Empat yang diterima oleh Ahlul Sunnah wal Jamaah.

Persoalan-persoalan yang ditimbulkan dan diperbesarkan oleh kelompok pelampau pseudo-Salafi moden hari ini lebih kepada persoalan remeh temeh dan khilafiyyah bukan persoalan utama dan asas dalam ajaran Islam. Para ulama telah sepakat bahawa dalam perkara-perkara asas dalam ajaran Islam, umat Islam hendaklah sepakat namun dalam perkara-perkara khilafiyyah kita dibenarkan untuk berbeda pandangan dan masing-masing perlu berlapang dada menerima perbezaan ini.

Harus difahami bahawa Salafi yang sebenar di awal Islam, mereka tidak menolak ajaran tasawuf dan juga bermazhab dalam fikah. Mereka adalah kelompok Athariyyah iaitu mengikut mazhab Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Abu Jaafar al-Tahawi dalam aqidah dan mereka masih selari dengan manhaj Ahlul Sunnah wal Jamaah. Namun pseudo-Salafi tidak sebegitu dan mereka mempunyai ciri-ciri antaranya (i) puritanisme yang melampau iaitu usaha untuk mengembalikan kepada ajaran Islam yang murni dengan menganggap umat Islam hari ini telah mengamalkan ajaran Islam yang telah bercampur baur dengan ajaran asing lalu menyeru berslogankan kepada “kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah”. Walaupun slogan ini nampaknya benar, namun memahami teks al-Qur’an dan al-Sunnah itu perlukan ilmu yang tinggi, ilmu usul fiqh dan ilmu-ilmu lain dan bukan dengan memahaminya secara literal dan zahir semata. Kelompok pseudo-Salafi hari ini memilih untuk memahaminya secara literal atau zahir dengan menolak dan mengenepikan syarahan dan kefahaman sebenar yang telah ditetapkan oleh para ulama muktabar dan mujtahidin yang berwibawa.

Begitu juga golongan pseudo-Salafi ini mendakwa mereka ingin merujuk hanya kepada para ulama Salaf sahaja, dan tidak mahu merujuk kepada para ulama Khalaf lalu menghadkan kepada ulaam hanya tiga generasi awal Islam sahaja. Pendekatan melampau ini sudah pasti tidak benar dan menyeleweng kerana para ulama Khalaf juga mengikut manhaj para ulama Salaf di awal Islam. Dengan menolak para ulama Khalaf, mereka telah menolak ratusan bahkan ribuan ulama-ulama berwibawa. Hari ini ada kelompok pseudo-Salafi yang merasakan mereka ini setaraf dengan para ulama muktabar zaman silam konon berpegang kepada kata-kata Imam Abu Hanifah “hum rijal wa nahnu rijal” (mereka berilmu dan kita juga berilmu) tanpa memahami konteks yang diungkapkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal iaitu merujuk kepada sekiranyan pandangan itu daripada golongan tabi’in, dan Imam Abu Hanifah sebagai seorang yang juga bertaraf tabi’in boleh memilih untuk menerima atau menolak pandangan mereka daripada generasi yang sama dengannya.  Imam Abu Hanifah berhak berkata sedemikian kerana generasi tabiin itu generasi setaraf dengannya. Adapun pandangan Baginda SAW dan para Sahabat RA sebelum itu Imam Abu Hanifah dengan jelas menekankan bahawa beliau menerima dengan sepenuhnya tanpa persoalkannya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Oktober 2016
WhatsApp
Scroll to Top