KAHERAH, 8 April (IKIM) – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memperjelaskan bahawa Misi Bantuan 30 Kontena ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) merupakan dua inisiatif berasingan dengan peranan dan kaedah pelaksanaan yang berbeza, meskipun kedua-duanya bertujuan membantu rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai penaung utama bagi kedua-dua misi tersebut, manakala Dato’ Seri Amirudin Shari diamanahkan mengetuai Misi Bantuan 30 Kontena ke Mesir serta mewakili kerajaan dalam pelepasan peserta Malaysia bagi GSF 2.0.

Misi Bantuan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dilaksanakan melalui laluan darat oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan kerajaan dan diselaraskan oleh Sumud Nusantara Command Centre. Misi ini tidak melibatkan penyertaan dalam flotila laut atau penghantaran barangan melalui kapal. 
Sebaliknya, Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan misi pelayaran antarabangsa melalui laut yang menghimpunkan hampir 100 kapal sebagai simbol solidariti global untuk memecahkan kepungan Gaza. 
Menurut kenyataan itu, kedua-dua misi dirancang dalam tempoh masa yang hampir serentak sebagai strategi meningkatkan tekanan kemanusiaan dan diplomatik terhadap pihak yang menindas Gaza. 

Kredit foto : MAPIM




