KLANG, 11 Disember (IKIM) – Panelis tetap rancangan popular IKIMfm ‘Imanuna’ Dato’ Dr. Ayman Al-Akiti antara senarai 94 penerima darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta Perak dan Penolong Profesor, Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang membawa gelaran Dato’.
Untuk rekod, Dato’ Dr Ayman merupakan seorang ulama Islam yang juga anak Melayu pertama memperoleh PhD (Doktor Falsafah) dari Universiti al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi yang merupakan universiti tertua di dunia menurut UNESCO. Beliau berkepakaran di dalam bidang Akidah, Ilmu Kalam, Tasawwuf, Kajian Manuskrip, Fiqah, Usul al-Fiqah dan Ilmu Falak.
Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan mengurniakan darjah Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang mana beliau mengetuai senarai penerima dalam majlis yang berlangsung di Istana Alam Shah, di sini hari ini.
Turut menerima darjah sama ialah Pengerusi Eksekutif The Edge Communications Sdn. Bhd, Tan Sri Tong Kooi Ong. Bagi darjah Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Datuk, penerimanya adalah Anggota Lembaga Pengampunan Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman.
Sementara itu bagi anugerah Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Dato’, mendahului senarai ialah Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Datuk Muhammad Farhan Wijaya; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Datin Hanafisah Jais.
Sultan Selangor juga menganugerahkan darjah sama kepada Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Zakat Selangor, Datin Badariah Abd. Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Nur-ul Afida Kamaludin.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-79 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata, beliau mendoakan ke hadrat Allah S.W.T semoga Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor serta seluruh Kerabat Diraja terus dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan.
“Merafak Sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-79, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.
“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Tuanku Sultan dan Tengku Permaisuri serta seluruh Kerabat Diraja terus dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan.
“Daulat Tuanku”, katanya menerusi hantaran di facebook.