KUALA KUBU BHARU, 3 Mac (IKIM) – Majlis Grand Iftar for Humanity 2026 anjuran Global Peace Mission Malaysia (GPM) dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Kedutaan Republik Rakyat China berlangsung dalam suasana penuh harmoni di Darul Quran JAKIM, malam tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata penganjuran kali ini amat signifikan kerana menggabungkan tiga elemen utama iaitu spiritualiti, kebajikan dan diplomasi. Beliau menyifatkan majlis berbuka puasa yang menghimpunkan lebih 1,500 tetamu pelbagai latar belakang sebagai manifestasi keharmonian Malaysia serta semangat rahmah dan ihsan yang menjadi teras Malaysia MADANI.
Beliau berkata pertemuan tersebut turut memfokuskan kepada pertukaran budaya antara tamadun China dan Islam, yang menurut beliau mempunyai banyak persamaan terutama dalam membawa nilai kebaikan, keamanan serta usaha mengukuhkan perpaduan sejagat.


Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli, Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof bin Hj. Othman, dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, selain wakil diplomatik, pimpinan NGO serta agensi kerajaan.
Majlis tersebut turut menyantuni 300 asnaf sekitar Kuala Kubu Bharu selain melibatkan 250 pelajar dan 120 warga Darul Quran. Majlis juga menyaksikan penyerahan Sumbangan Tabung Musa’adah JAKIM-YWM kepada asnaf Darul Quran JAKIM sebanyak RM25,000.00 dan beberpa sumbangan-sumbangan lain.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan tertutup bersama Duta China bagi membincangkan pertukaran budaya antara tamadun Islam dan China, kerjasama pensijilan halal, serta potensi pelaburan termasuk industri robotik. Beliau menegaskan hubungan dua hala Malaysia-China bukan sekadar berteraskan ekonomi, malah turut merangkumi nilai kemanusiaan dan persefahaman antara peradaban.




