DEMI KEADILAN PALESTIN: MALAYSIA MEMPERJUANGKAN HAK ASASI DI PBB

KUALA LUMPUR, 8 November (IKIM) — Malaysia mengambil langkah tegas di peringkat antarabangsa dengan mengemukakan draf resolusi untuk menggantung keanggotaan Israel dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam mempertahankan hak asasi manusia dan keadilan di pentas global. 

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan ini berlandaskan prinsip moral sejagat dan falsafah Malaysia MADANI, yang mengutamakan kemanusiaan serta keadilan sosial.

Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam satu kenyataan hari ini berkata serangan berterusan oleh Israel telah menyebabkan kematian lebih daripada 43,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, dengan lebih 100,000 lagi mengalami kecederaan. 

“Penindasan ini turut mencetuskan krisis kemanusiaan di wilayah Palestin dan selatan Lubnan, dan semakin meruncing dengan keputusan Knesset Israel pada 28 Oktober 2024 untuk melarang operasi Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA),” kata beliau.

Beliau menambah langkah ini dilihat sebagai tindakan melampaui batas yang menafikan hak rakyat Palestin untuk hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Malaysia membawa draf resolusi ini ke Perhimpunan Agung PBB bukan sahaja untuk mempertahankan hak-hak rakyat Palestin, tetapi juga menyokong peranan UNRWA, yang menyediakan bantuan asas kepada lebih enam juta pelarian Palestin. Ini termasuk perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang amat penting bagi kelangsungan hidup rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan, dan Syria.

Dalam kenyataan itu, IKIM menyebut menurut Piagam PBB, dua Artikel—Artikel 5 dan Artikel 6—memberi kuasa kepada badan antarabangsa itu untuk menggantung atau mengusir negara yang melanggar prinsip asas PBB. 

Langkah ini bukan sahaja menyokong UNRWA tetapi juga membuka ruang bagi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mengeluarkan pandangan tentang tanggungjawab Israel terhadap Palestin. Dengan usaha ini, Malaysia berharap Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran hak asasi dan undang-undang antarabangsa yang berterusan.

Langkah Malaysia adalah selaras dengan falsafah Malaysia MADANI, yang mengutamakan kemanusiaan dan keadilan sosial, demi mencapai masyarakat global yang lebih adil dan bertanggungjawab. Sebelumnya, Malaysia juga telah mengambil tindakan proaktif dengan melarang kapal syarikat perkapalan Israel, ZIM Shipping, dari memasuki pelabuhan Malaysia, yang menunjukkan komitmen serius negara dalam menyuarakan sokongan terhadap Palestin.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri, menegaskan komitmen Malaysia dalam memperjuangkan keadilan sosial dan kemanusiaan sejagat.

“Tindakan ini mencerminkan keazaman Malaysia dalam memastikan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa dihormati,” ujar beliau.

WhatsApp
Scroll to Top