DATO’ DR. ABDUL HALIM ISLAM : PELOPOR KEWANGAN ISLAM DI MALAYSIA MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR, 20 Oktober (IKIM) – Dunia kewangan Islam Malaysia kehilangan seorang tokoh besar dengan pemergian Allahyarham Dato’ Dr Abdul Halim Ismail, Pengarah Urusan pertama Bank Islam dan perintis sistem perbankan Islam di negara ini.

Beliau yang merupakan mantan Ahli Lembaga Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dikenali sebagai seorang pemimpin berwawasan yang berjaya meletakkan asas kukuh bagi perkembangan kewangan Islam di Malaysia. Di bawah kepimpinannya, perbankan Islam bukan sahaja berjaya membuka lembaran baharu dalam sistem kewangan negara, tetapi turut memainkan peranan penting dalam mempopularkan perbankan patuh syariah yang kini diterima secara meluas.

Beliau yang pernah menerima Anugerah Diraja Kewangan Islam pada tahun 2014 pernah menyandang jawatan Dekan Fakulti Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1974 hingga 1977. Kepakaran Allahyarham dalam undang-undang Syariah serta perbankan dan kewangan Islam telah membawa kepada pelantikan beliau dalam pelbagai lembaga pengawal selia Syariah, termasuk Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan serta institusi kewangan.

Allahyarham juga pernah menghasilkan karya buku bertajuk “The Deferred Contracts Of Exchange : Al-Quran in Contrast with the Islamic Economists Theory on Banking and Finance” yang diterbitkan oleh IKIM. 

Di luar perbankan, beliau turut memainkan peranan penting dalam pembangunan industri Takaful, pengurusan dana amanah Islam, serta saham patuh syariah. Usahanya memperluas penyelesaian kewangan Islam membolehkan masyarakat pelbagai lapisan mendapat akses kepada produk kewangan yang memenuhi keperluan dan prinsip agama.

Selain pencapaian profesional, beliau dikenang sebagai seorang tokoh yang berani, berintegriti tinggi, dan rendah hati serta turut aktif dalam aktiviti khidmat masyarakat. 

Legasi Allahyarham Dato’ Dr Abdul Halim Ismail akan terus menjadi penanda aras dan inspirasi bagi generasi akan datang dalam membangunkan sistem kewangan Islam yang mampan dan inklusif.

Scroll to Top