KUALA LUMPUR, 4 Februari (IKIM) – Pembangunan Dasar Halal Negara 2035 diharap dapat memperkasa serta menentukan hala tuju industri halal negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata pelbagai dokumen dan pelan yang telah wujud bagi menyokong pembangunan Dasar Halal Negara ini yang mana cetusan idea dan usul ini telah dikemukakan pada 2017 dan kerajaan MADANI komited untuk mengambil inisiatif dan memberikan penekanan dalam pembangunan halal ini.
“Terima kasih kepada Kementerian Ekonomi atas peruntukan yang diberikan untuk membangunkan Dasar Halal Negara 2035 ini,” ujar beliau ketika merasmikan Perbincangan Kumpulan Sasar Dasar Halal Negara 2025-2035 di sini hari ini.

Matlamat program ini bagi membentuk kolaborasi, serta membuat penyelarasan bagi memantapkan ekosistem pengurusan halal di Malaysia seterusnya bersama-sama membina sebuah dasar dan pelan tindakan oleh semua agensi terlibat untuk melihat hasilnya 10 tahun akan datang.
“Saya percaya bahawa Halal bukan sekadar aspek pematuhan syariah, tetapi ia juga simbol integriti, kepercayaan, dan kemajuan ekonomi,” ujar beliau.
Malaysia sebagai sebuah negara yang diiktiraf peneraju industri halal global perlu merangka dasar yang mantap, futuristik, dan inklusif untuk memastikan kedudukan kita kekal relevan dan kukuh.

Mohd Na’im dalam pada itu turut berkongsi laporan yang dikemukakan oleh Dinar Standard yang menunjukkan Malaysia disenaraikan dalam kedudukan teratas Global Islamic Economy Indicator (GIEI) untuk sepuluh tahun berturut-turut diikuti Arab Saudi, Indonesia dan UAE yang membuktikan kepercayaan dan pandangan dunia kepada Malaysia adalah tinggi.
Beliau turut berkata pda tahun 2024, jumlah permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah sebanyak 16,686 permohonan di seluruh Malaysia.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Universiti Malaysia (UM) ini turut dihadiri oleh Dr. Mohamad Kori Jusoh,Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM dan Prof. Ir. Dr. Kaharudin Dimyati, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UM.